PETALING JAYA: Sudah tibanya masanya Liga Malaysia (Liga M) maju selangkah dengan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) musim ini.
Sekalipun tidak menyeluruh, ia tetap satu permulaan untuk sukan bola sepak negara dipandang tinggi, kata pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Katanya, penggunaan VAR sudah satu keperluan memandangkan banyak negara luar menggunakan teknologi berkenaan dalam usaha membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat di atas padang.

“VAR sebenarnya kita boleh kata sudah tiba masanya untuk digunakan dalam Liga M. Teknologi itu diyakini dapat memberi keadilan kepada mana-mana pasukan selain mengelak masalah berbangkit seperti yang terjadi sebelum ini membabitkan mutu pengadilan.
“Biarlah digunakan dalam perlawanan penting sahaja sekalipun, asalkan ada. Jika kita mahu teknologi ini digunakan sepenuhnya dalam Liga M, rasanya belum mampu.
“Maka, kita perlu ikut kemampuan, biar prosesnya berperingkat hingga betul-betul boleh.
“Sebab itulah saya setuju apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu laksanakan VAR secara berperingkat kerana sistem itu pun sudah jadi satu keperluan, kalau tidak ambil tahu mengenainya pun tidak boleh juga,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan VAR bakal digunakan dalam Liga M 2023, namun teknologi itu tidak dapat dilaksanakan lebih awal.
Ini kerana, ia memerlukan latihan khususnya kepada pengadil yang akan mengendalikan VAR.
Berkemungkinan besar VAR akan digunakan pada peringkat kalah mati Piala FA dan Piala Malaysia kerana persiapan mengambil masa enam hingga tujuh bulan.
Selain faktor latihan pengadil dan ujian, kos juga isu yang perlu diberi perhatian kerana bukan murah untuk memasang teknologi tersebut.
Dalam pada itu, Pekan berkata, pasukan Liga M tidak seharusnya menanggung beban tambahan dengan diminta mengeluarkan duit bagi menampung pembayaran penggunaan kos VAR yang bakal dilaksanakan nanti.
“Perkara utama bukan di bawah tanggungjawab pasukan untuk menyediakan VAR, apatah lagi mereka terhimpit dengan kewangan termasuk soal pembayaran gaji pemain dan pegawai.
“Mungkin jFAM boleh bekerjasama dengan syarikat korporat di mana bajet menguruskan VAR itu ditanggung pihak korporat,” ujarnya.