fbpx

Masa untuk Speedy Tigers kembali ke Olimpik

BIARPUN gagal melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia 2023, skuad hoki negara yang tewas menerusi penentuan penalti shoot-out kepada Sepanyol, Ahad lalu mempunyai kualiti untuk bersaing di peringkat tertinggi serta kembali beraksi di pentas Sukan Olimpik.

PETALING JAYA: Melihat kepada prestasi skuad hoki negara pada Piala Dunia di India, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menamatkan penanti­an panjang kembali ke pentas Sukan Olimpik di Paris tahun depan.

Memenangi pingat emas da­lam Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini menjadi tiket pertama untuk skuad Speedy Tigers memburu slot ke Olimpik sejak kali terakhir mela­kukannya di Sydney 2000.

Sekiranya berjaya menjuarai Sukan Asia, anak-anak buah A. Arul Selvaraj akan layak secara automatik ke Paris, dan ia dilihat sebagai laluan paling mudah berbanding jalan yang lain, kata legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini.

KALI terakhir skuad hoki Malaysia beraksi pada pentas Sukan Olimpik di Sydney 2000.

“Malaysia menampakkan per­bezaan dalam permainan, ini yang kita mahu lihat, namun ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khususnya bertahan secara berpasukan, kita juga boleh nampak ada pemain-pemain baharu yang menonjol.

“Ini membuktikan kita ada pemain, campuran lama dan baharu untuk membentuk pasukan yang lebih hebat dan bersaing bagi layak ke Sukan Olimpik.

“Di Sukan Asia nanti, mereka kena berusaha sehabis baik.

“Saya harap pasukan negara akan bermain sama seperti pa­sukan luar yang lebih kuat de­ngan menerapkan kelajuan serta bermain secara berpasukan.

“Kita ada pemain muda yang bagus dan mereka boleh hasilkan sesuatu,” katanya kepada ­Utusan Malaysia.

NOR SAIFUL ZAINI

Ditanya tentang peluang di Sukan Asia, Nor Saiful yang pernah mewakili negara pada Olimpik 1992, 1996 dan 2000 berkata, beliau berharap pemain tidak membazirkan peluang seperti yang terjadi di Sukan Asia 2018 di Jakarta.

“Menang Sukan Asia adalah cara mudah ke pentas Olimpik dan jika gagal menjuarai Sukan Asia, pasukan negara akan berdepan tugas sukar untuk layak ke temasya berprestij itu kerana perlu bersaing dengan negara-negara dari benua lain,” katanya.

Berdasarkan kriteria kelayakan, tuan rumah Perancis dan lima juara benua (termasuk ­Sukan Asia) akan mendapat slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebanyak 16 pasukan kemudian akan bersaing untuk merebut baki enam tempat menerusi kejohanan yang akan diumumkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

 

Selain itu katanya, Malaysia juga perlu mempelajari kaedah bagaimana negara-negara Eropah bermain dan dalam masa yang sama mengekalkan cara permainan Asia yang turut mempunyai kelebihan dalam aspek pertahanan.

“Pemain Eropah kurang skill individu tetapi mereka ada skil bermain secara berpasukan dalam mencorakkan bahagian serangan dan cara Asia pula lebih baik dalam soal pertahanan. Jika diolah dengan baik, kita mampu memiliki semuanya.

“Kita juga perlu kekalkan kaedah ‘Malaysia Style’…Maknanya, kita pelajari semua corak dan taktikal, kita ada cara Eropah, cara Asia dan Malaysia Style. Ini akan memperkuatkan lagi pasukan negara dalam kejohanan akan datang,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN