PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck mendedahkan dia sanggup dipotong gaji untuk kekal di Sri Pahang, namun tiada kata sepakat dicapai memaksanya memilih untuk menyertai Kedah Darul Aman (KDA) musim depan.
Dia yang kini menggalas tugas bersama Harimau Malaya dalam Piala AFF mengakui, mahu kekal bersama Tok Gajah bagi musim 2023 dan menafikan tidak mengenang budi selepas segala usaha dilakukan bekas pasukannya itu bagi melengkapkan proses naturalisasi.
“Saya telah berbincang dengan pengurusan Sri Pahang dan sebelum itu, saya menunggu beberapa bulan untuk menanti sama ada mereka akan menawarkan kontrak baharu atau tidak kerana saya memang mahu kekal bersama kelab itu.
“Saya juga memaklumkan kepada mereka saya sanggup dipotong gaji untuk kekal tetapi malangnya gagal capai kata sepakat.
“Sri Pahang sebuah kelab yang hebat tetapi inilah lumrah bola sepak dan ia sentiasa berlaku,” katanya.
Kelmarin, KDA mengumumkan kemasukan Tuck sebagai keluarga mereka dan akan memperkuatkan bahagian tengah skuad Sang Kenari di bawah bimbingan Nafuzi Zain pada 2023.
Dilahirkan di Halifax, England, Tuck yang berumur 34 tahun mengikat kontrak setahun, sekali gus melengkapkan senarai pemain tempatan pilihan Nafuzi.
Kedua-dua mereka pernah bekerjasama di Terengganu FC sejak 2018 sehingga 2020.
Ketika ditanya sama ada cerita perpindahannya dan komen negatif segelintir peminat menjejaskan persiapannya bersama pasukan kebangsaan dalam Piala AFF, Lee Tuck berkata, dia sentiasa memberikan fokus dengan tugasan bersama Harimau Malaya.
Selain itu katanya, perlawanan menentang Singapura esok adalah amat sukar kerana lawan sudah semestinya akan bermain secara bertahan untuk menghalang skuad negara menjaringkan gol kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri.
“Kita mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol dalam permainan terbuka.
“Kita boleh fokus untuk mencari gol daripada ‘set piece’ tetapi kita mempunyai kualiti pemain serangan yang mampu meledak dan saya fikir pemain Singapura menyedari perkara itu,” katanya.
Skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Kim Pan Gon wajib menang dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi melayakkan diri ke separuh akhir.