Isu luar gelanggang jejas Djokovic

Isu luar gelanggang jejas Djokovic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Memenangi perlawanan dalam Terbuka Australia bukan masalah besar buat ­Novak Djokovic.

Jaguh tenis Serbia itu telah memenangi 27 perlawanan tanpa kalah, rekod paling lama ­untuk era Terbuka dalam tempoh 55 tahun.

Kini Djokovic hanya memerlukan satu lagi kemenangan, menentang lawan yang telah dikalahkan 10 kali daripada 12 pertemuan mereka, Stefanos Tsitsipas dalam final hari ini untuk merangkul kejuaraan ke-10, yang juga gelaran Grand Slam ke-22 keseluruhan.

Begitupun, apa yang membimbangkan bekas pemain No. 1 dunia itu adalah perkara yang tidak boleh dikawal – gangguan di luar gelanggang.

Sudah melupakan insiden ‘diusir’ dari memasuki Austra­lia tahun lalu gara-gara enggan mengambil vaksin Covid-19, kini dia berdepan gangguan baharu.

Ibu bapa dan abangnya kembali ke kejohanan buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun tetapi bapanya, Srdjan tidak menonton aksi ketika dia menang ke atas Tommy Paul di separuh akhir kelmarin.

SRDJAN Djokovic mencetuskan kontroversi apabila bergambar bersama bendera Russia.

Dua hari sebelum perlawanan, di luar Arena Rod Laver, Srdjan dilihat memberi soko­ngan kepada Russia, yang me­lakukan pencerobohan ke atas Ukraine dengan bergambar bersama bendera negara itu.

Djokovic mengakui, dia tidak pasti apakah bapanya akan hadir ke Rod Laver Arena untuk menonton perlawanan akhir.

Tidak hanya itu, masalah hamstring kiri yang mencengkam sejak awal kejohanan memaksa dia banyak mengambil pil menahan sakit.

Djokovic juga menjangkakan, pertemuan dengan Tsitsipas adalah pertarungan mental, fizikal dan emosi.

Biarpun sudah memiliki sembilan gelaran Terbuka Australia, namun aksi kali ini dilihat amat menguji kemampuannya.

“Setiap kali berdepan Stefanos, ia adalah pertempuran mental, fizikal dan emosi. Saya sangat menghormatinya.

“Dia menunjukkan banyak peningkatan selama ini dan saya rasa dia antara pemain lelaki paling menarik dalam jelajah,” kata Djokovic.

Sementara itu, Tsitsipas mendakwa dia sudah melupakan pertemuan terakhir ketika kalah kepada Djokovic pada ­final Terbuka Perancis 2021.

Walaupun tidak pernah bergelar juara Grand Slam, ­kemampuan Tsitsipas tidak boleh dipandang ringan selepas me­nunjukkan peningkatan besar.

NOVAK Djokovic (kanan) ketika menewaskan Stefanos Tsitsipas dalam final Terbuka Perancis 2021. – AFP

Pada final Terbuka Perancis 2021, Djokovic dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Tsitsipas.

Sejurus tamat separuh menentang Karen Khachanov, Tsitsipas ditanya apakah dia masih mengingati aksi se­ngit empat jam, 11 minit ketika kalah kepada Djokovic di Paris.

“Saya tidak ingat, sama sekali tidak ingat.

“Lagi pun tiada keperluan untuk mengingatinya,” jawab­ bintang Greece itu yang kalah 7-6 (8/6), 6-2, 3-6, 2-6, 4-6 dalam perlawanan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.