Harimau Malaya tempah slot separuh akhir Piala AFF

Harimau Malaya tempah slot separuh akhir Piala AFF

PEMAIN Malaysia meraikan jaringan ketika menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala AFF selepas menundukkan Singapura 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menunaikan janjinya kepada peminat bola sepak tanah air bahawa skuad kebangsaan akan berpesta pada pertemuan yang berlangsung di hadapan 64,147 penonton itu.

Jaringan pembukaan Malaysia diperoleh menerusi penyerang, Darren Lok yang menanduk kemas bola hasil hantaran lintang kapten, Safawi Rasid pada minit ke-35.

Malaysia terus beraksi cemerlang sebaik permainan bersambung dalam babak kedua apabila Stuart John Wilkins menjarakkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-50 hasil rembatan dari luar kotak penalti.

Pemain tengah kelahiran England itu sekali lagi menambah pedih dihati skuad Singa apabila dia meletakkan Harimau Malaya selesa didepan menerusi jaringan ketiga selang empat minit selepas itu.

Pasukan pelawat berjaya merapatkan jurang gol kepada 3-1, apabila penyerang yang menyarung jersi No. 10, Faris Ramli meledakkan gol tunggal Singapura pada minit ke-85.

Bagaimanapun, usaha skuad Singa untuk menambah jaringan tidak kesampaian setelah pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero yang dibawa masuk pada separuh masa kedua menyumbat gol keempat Harimau Malaya pada minit ke-88.

Anak-anak buah Pan Gon membawa misi wajib menang ke atas pasukan Singa yang bertandang ke Bukit Jalil hanya untuk mencatat keputusan seri.

Seperti diduga, Singapura yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Takayuki Nishigaya mempamerkan permainan bertahan dan lebih banyak menghabiskan masa di kubu mereka.

Pasukan seberang tambak itu hanya memerlukan satu mata untuk dibawa pulang setelah mereka berada di tempat kedua Kumpulan B dengan tujuh mata, manakala, Malaysia yang menghuni tangga ketiga apabila mengumpul enam mata amat memerlukan kemenangan untuk layak ke separuh akhir.

Dalam aksi menentang Singapura tersebut, pengendali Harimau Malaya dari Korea Selatan itu hanya melakukan dua pertukaran apabila membawa masuk Safawi dan Quentin Cheng yang kembali ke dalam kesebelasan utama.

Safawi menggantikan Lee Tuck yang beraksi sewaktu menentang Vietnam, manakala Quentin mengisi kekosongan yang ditinggalkan bek kanan, Azam Azmi yang digantung kerana kad merah.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Malaysia melengkapkan saingan selaku naib juara setelah mengumpul 9 mata daripada empat perlawanan, manakala, Vietnam mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Vietnam mara sebagai juara kumpulan selepas menundukkan Myanmar 3-0.

Dalam aksi separuh akhir pertama pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Harimau Malaya akan menerima kunjungan Thailand yang muncul juara Kumpulan A. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya