KUALA LUMPUR: Selain sukar menyaingi aksi menyerang Malaysia sejak awal permainan, kehadiran lebih 65,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil juga menyebabkan Singapura tenggelam ketika tumpas 4-1 kepada Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala AFF 2022 kelmarin.
Pengendali Singa, Takayuki Nishigaya berkata, pemainnya telah mengeluarkan semua potensi, namun situasi amat sukar beraksi di 65,000 penyokong lawan.
Katanya, tindakan Harimau Malaya melancarkan serangan sejak awal juga tidak mengizinkan mereka berada pada posisi lebih tinggi dan terpaksa bertahan.
Kata pengendali dari Jepun itu, anak-anak buahnya gagal melaksanakan misi yang direncanakan ekoran aksi agresif skuad bimbingan Kim Pan Gon.

“Sudah tentu saya kecewa tetapi pemain sudah menyerlahkan potensi dalam suasana sukar bermain di hadapan lebih 65,000 penyokong lawan.
“Kami berhasrat untuk berada pada posisi lebih tinggi di atas padang sewaktu babak pertama tetapi malangnya diserang bertali arus.
“Pada separuh masa kedua, kami berusaha mengubah corak permainan bertahan tetapi tidak mampu untuk berbuat demikian,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Singapura menutup kempen di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Vietnam dan Malaysia.