MELBOURNE: Perlawanan derbi Melbourne Liga Bola Sepak Australia (Liga-A) semalam terpaksa dihentikan seorang pemain dihempuk di kepala hingga berdarah menggunakan baldi berisi pasir.
Pertembungan antara Melbourne City dan Melbourne Victory itu kecoh ketika baru memasuki minit ke-22 apabila sekumpulan penyokong menyerbu ke padang dan berkelakuan ganas.
Mereka membawa pelbagai objek, termasuk melemparkan suar sebelum membaling penjaga gol City, Tom Glover dengan baldi pasir, selain menyerang pengadil, Alex King.
Pemain lain bergegas membantu semua mangsa ketika mereka dibawa keluar padang, dengan perlawanan yang pada awalnya hanya ditangguhkan, akhirnya terpaksa dibatalkan.
Glover luka di kepala dan menerima rawatan perubatan di bilik persalinan kerana disyaki berlaku gegaran otak sebelum digegaskan ke hospital.
Melbourne City player taken to hospital after A-League Melbourne derby pitch invasion sees injuries and the match against Melbourne Victory abandoned 20 minutes in.
Read more here: https://t.co/V09BOoFany pic.twitter.com/HgVDX9xhI5— SBS News (@SBSNews) December 18, 2022
Terdapat rakaman menunjukkan sebelum peminat melancarkan serangan, Glover sempat melempar suar yang mendarat di kawasan kotak penaltinya kembali ke arah penyokong.
Ramai beranggapan insiden tersebut menjadi punca dia diserang penonton yang tidak berpuas hati.
Adegan jelek itu berlaku pada ketika terdapat protes dirancang dalam semua perlawanan Liga-A selepas Liga Profesional Australia (APL) menandatangani perjanjian untuk mengadakan perlawanan akhir lelaki dan wanita di Sydney bagi tempoh tiga tahun.
Kebiasaannya, pasukan yang berada di kedudukan tertinggi memperoleh hak sebagai tuan rumah perlawanan akhir, namun APL dilaporkan telah membayar A$20 juta (RM59.4 juta) untuk memindahkan venue.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) sudah memulakan siasatan dan akan memburu perusuh.
“Insiden ini melangkaui bola sepak. Ia (keganasan) elemen yang menyusup masuk ke dalam permainan kami dan benar-benar merosakkannya.
“Dan orang-orang itulah yang kami sasarkan dalam penyiasatan dan akan kami hapuskan daripada sukan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FFA, James Johnson. – AGENSI