PETALING JAYA: Dilabel sebagai Harimau Malaya ‘B’ tidak menjejaskan moral pemain negara yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Piala AFF 2022.
Tonggak pertahanan Selangor, Quentin Cheng menegaskan, mereka menghormati pendapat penyokong yang memberi gelaran tersebut.
Sebagai pemain, dia dan 22 lagi rakan-rakan yang disenaraikan oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon pada kejohanan itu adalah membuktikan kemampuan serta membalas kepercayaan dengan prestasi terbaik di atas padang.
Quentin turut melaungkan keyakinan dia dan rakan sepasukan mampu membawa Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir dengan kualiti serta semangat yang ada pada setiap pemain.
“Semua orang ada pandangan masing-masing termasuk peminat. Kami tahu tidak ramai pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) jadi saya rasa mungkin mereka label kami Harimau Malaya B tetapi kami sebagai pemain tidak peduli sebaliknya hanya fokus untuk beri yang terbaik nanti.
“Kami berada pada tahap terbaik sama ada dari segi fizikal dan mental serta kami juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan apa yang dikehendaki jurulatih Pan Gon dan kami bersemangat untuk membawa nama negara.
“Saya percaya kami mempunyai kualiti untuk pergi jauh pada Piala AFF nanti kerana setiap pemain terpilih di sini sangat bagus dan barisan kejurulatihan tidak akan pilih kami jika mereka rasa kami tidak mampu pergi jauh.
“Jadi saya percaya kami mempunyai peluang untuk mara ke perlawanan akhir nanti,” katanya.
Dalam pada itu, rakan sepasukannya di Selangor dan juga bekas pemain JDT, Fazly Mazlan turut senada dengan Quentin.
Katanya, gandingan muka-muka baharu ini dan kejayaan tidak dibolosi dalam dua perlawanan persahabatan memberikan suntikan motivasi tambahan buat para pemain terutamanya di barisan pertahanan.
“Saya lihat kami mempunyai peluang untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan kali ini kerana semua pemain bermain habis-habisan untuk negara.
“Kami di kem latihan ini bukan menghabiskan masa dan untuk suka-suka tetapi kami fokus untuk pergi sejauh yang mungkin.
“Bagi saya tidak mustahil untuk kita menang sebab dalam bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku, jika ada rezeki Insha-Allah pastinya kita akan menang dan barisan pertahanan semakin baik selepas kami tidak dibolosi dalam dua perlawanan persahabatan.
“Selepas beberapa minggu berlatih bersama Alhamdulillah kami semakin serasi dan sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Piala AFF ini,”ujarnya yang kali pertama menyarung jersi kebangsaan pada 2015. – UTUSAN ONLINE