KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menarik atau mengurangkan subsidi minyak walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik dan perkembangan geopolitik semasa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan masih menilai situasi semasa termasuk tempoh kesan kenaikan harga minyak dunia sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata, buat masa ini kerajaan berpendapat kesan kenaikan harga minyak memang besar namun kerajaan masih mampu bertahan sekiranya keadaan itu berlanjutan dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
“Buat masa ini kita belum ada keputusan untuk potong subsidi, kita rasa kesan ini memang besar, tetapi kita hendak tengok berapa lama kesan ini berlarutan.
“Kalau setakat dua hingga tiga bulan, saya rasa kerajaan masih boleh bertahan,” katanya kepada pemberita pada majlis sembang santai anjuran Peniaga Bundle Malaysia dan Majlis Belia Kawasan Titiwangsa di After 6 Coffee, Kampung Baru di sini, hari ini.
Menurut beliau, konflik dan ketidaktentuan geopolitik yang berlaku ketika ini telah menimbulkan kebimbangan di banyak negara di seluruh dunia.
“Perang ini sebenarnya telah merisaukan banyak negara. Bukan kita sahaja yang risau, di ASEAN risau, di Timur Tengah lagilah risau dan di Eropah pun risau kerana banyak perkara yang menyebabkan ketidaktentuan,” ujarnya.
Tambahnya, ketidaktentuan dalam ekonomi lazimnya akan membawa kepada dua kesan utama kepada masyarakat dan pasaran.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan memilih untuk menyimpan wang.
“Apabila berlaku ketidaktentuan, pertama orang akan simpan duit. Kedua, kalau harga minyak naik seperti sekarang, ia akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada minyak semata-mata tetapi juga kepada industri yang menggunakan tenaga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan subsidi minyak pada masa hadapan.-UTUSAN.










