Tengku Aidy mahu angkat keunggulan skuad badminton Pahang - Utusan Malaysia

Tengku Aidy mahu angkat keunggulan skuad badminton Pahang

TENGKU AIDY AHMAD SHAH Tengku Kamil Ismail (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada pemenang tempat ketiga kategori remaja Kejohanan Badminton Remaja dan Pahang Tertutup 2022 di Dewan Persatuan Badminton Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Biarpun baru lima bulan menerajui Persatuan Badminton Pahang sejak Julai lalu, Presidennya, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail bertekad mahu mengangkat keunggulan skuad badminton negeri ini di persada negara dan antarabangsa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Aidy berkata, biarpun ia tugas berat buatnya selaku peneraju baru persatuan itu, namun baginya ia bukan suatu yang mustahil.

“Badminton merupakan sukan yang kedua popular tanah air selepas bola sepak yang turut dikenali dan dimainkan seluruh dunia.

“Sukan ini mempunyai pengikut dan peminatnya yang tersendiri, jadi sebagai Presiden baru, tentunya misi dan matlamat saya untuk mengangkat keunggulan skuad badminton negeri ini.

“Matlamat saya untuk melahirkan lebih ramai pemain yang bukan sahaja bertaraf kebangsaan malah antarabangsa seperti pemain utama badminton negara, Lee Zii Jia,” katanya ketika ditemui di Dewan Persatuan Badminton Pahang di sini.

TENGKU AIDY AHMAD SHAH Tengku Kamil Ismail (kanan) duduk bersama ahli keluarga peserta Kejohanan Badminton Remaja dan Pahang Tertutup 2022 di Dewan Persatuan Badminton Pahang di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Tengku Aidy berkata, antara yang akan dilakukannya bagi mengembalikan keunggulan skuad badminton Pahang, beliau bakal mengaktifkan kembali kejohanan di peringkat daerah-daerah di negeri ini.

“Setelah mengambil alih persatuan ini, saya dapati kejohanan peringkat daerah sudah lama tidak diadakan. Jadi, sebagai presiden baru, saya akan aktifkan semula supaya ia lebih kerap diadakan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berbangga kerana selepas mengambil alih persatuan tersebut, Pasukan Badminton Junior Pahang mencipta sejarah apabila pasukan lelaki Bawah 12 berjaya muncul juara National Interstate Championship 2022 yang diadakan di Johor Bahru.

Kejohanan bulan Oktober lalu itu juga katanya, menyaksikan skuad wanita Bawah 12 tahun Pahang berjaya meraih tempat ketiga.

“Tentunya saya cukup gembira dan bersyukur dengan kejayaan pemain-pemain muda negeri ini.

“Ini kerana buat pertama kali kita layak ke peringkat akhir National Interstate Championship,” katanya.

Beliau berkata, apa yang pasti kerja keras jurulatih dan para pemain dalam sesi latihan sebelum ini sudah pun membuahkan hasil.

“Tentunya mereka berhak meraikan kejayaan ini yang boleh dilihat satu permulaan yang baik bagi sukan badminton di negeri ini,” katanya.

Beliau mahu pemain terlibat terus kekal fokus dan konsisten kerana optimis dengan bakat pemain junior Pahang yang mampu menjadi pemain berkelas dunia pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya