Pan Gon tak pernah jumpa pemain 'tolak' skuad kebangsaan

Pan Gon tak pernah jumpa pemain ‘tolak’ skuad kebangsaan

KIM PAN GON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon me­ngakui, ini kali pertama sepanjang kariernya sebagai jurulatih menyaksikan pemain menolak panggilan pasukan kebangsaan.

Pengendali berusia 53 tahun itu yang pernah membimbing skuad kebangsaan Hong Kong dan beberapa kelab di Korea Selatan sejak 20 tahun lalu bagaimanapun tetap tenang menghadapi keadaan tersebut.

Walaupun pertama kali berdepan situasi itu, Pan Gon dilihat profesional apabila langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kekecewaan, sebaliknya tetap bersemangat untuk membentuk skuad terbaik menjelang saingan Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Beliau juga menerima keputusan di mana kempen Piala AFF yang berlangsung di luar jendela perlawanan antarabangsa membolehkan kelab atau pemain menolak panggilan skuad kebangsaan.

“Ya, dalam karier saya ini adalah pertama kali. Saya be­kerja di sini, di Malaysia, jadi saya harus menyesuaikan diri dan menerima apa sahaja perubahan, saya tidak mahu merungut.

“Lagipun perkara sebegini memang boleh berlaku kerana ia termaktub dalam peraturan FIFA, saya terima keputusan dan kepada pemain-pemain yang sertai kami, kami berikan layanan yang baik kepada mereka dan cuba jadikan pasukan ini satu pasukan yang baik,” katanya.

Sebelum ini, 12 tonggak Harimau Malaya, 11 daripadanya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) – Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa tidak dapat menyertai Harimau Malaya.

Terbaharu dua pemain Kuala Lumpur City, Akram Mahinan dan Declan Lambert turut menolak panggilan berkenaan.

Kempen Piala AFF kali ini menyaksikan Malaysia diletak dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Harimau Malaya dijadual menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Di­sember ini, di Bukit Jalil dan Stadium Kuala Lumpur .

Pan Gon turut mengakui ke­sempatan ini peluang terbaik­nya menilai kemampuan dan prestasi pemain lain.

“Perpaduan adalah nilai negara Malaysia jadi daripada kita pisahkan pemain-pemain, lebih baik kita bersatu,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya