Pan Gon mahu analisis insiden kontroversi sebelum beri kenyataan

Pan Gon mahu analisis insiden kontroversi sebelum beri kenyataan

AZAM Azmi dilihat hanya berusaha bangkit selepas terjatuh ekoran ditolak oleh pemain Vietnam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak dapat melihat dengan jelas kontroversi yang menyebabkan pertahanan negara, Azam Azmi Murad dilayangkan kad merah dan Vietnam dihadiahkan sepakan penalti, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon hanya boleh memberi kenyataan lanjut selepas melihat analisis insiden berkenaan.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, sukar untuk beliau mengulas mengenai tindakan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato yang dilihat membuat keputusan ‘berat sebelah’ hingga menjejaskan permainan Malaysia dan akhirnya kalah 3-0 dalam aksi Piala AFF di Hanoi malam tadi.

“Sukar untuk saya mengulas insiden ini kerana saya tidak dapat melihat gambaran yang jelas mengenai situasi itu.

“Saya fikir kami perlu melihat analisis penuh untuk memahami situasi berkenaan dan selepas itu kami boleh katakan sesuatu.

“Tapi kami perlu belajar mengenai situasi itu. Kami memiliki kelebihan besar apabila beraksi lebih seorang pemain dan kami patut menggunakan kelebihan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Kontroversi tercetus pada minit ke-59 apabila Sato menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam selepas Azam Azmi didakwa mengasari Doan Van Hau.

REAKSI pemain Malaysia selepas kalah kepada Vietnam di Hanoi.

Keputusan pengadil itu dibantah barisan pemain Harimau Malaya kerana tiada kekasaran yang dilihat dilakukan Azam ke atas Van Hau dalam kotak penalti, melainkan berlaku pergelutan antara dua pemain itu di luar padang selepas kedua-duanya terjatuh ketika merebut bola.

Malah, sebelum mereka terjatuh di luar padang, Van Hau yang dilihat menolak Azam dan pertahanan negara itu bergelut untuk bangun dan meneruskan permainan kerana dihadang pemain lawan.

Insiden itu menyebabkan permainan terhenti kira-kira lima minit sebelum Sato mengambil tindakan mengejut melayangkan kad merah kepada Azam dan memberi penalti kepada lawan yang disempurnakan oleh Que Ngoc Hai.

Kekalahan itu bermakna Malaysia perlu mengalahkan Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada 3 Januari di Bukit Jalil untuk mencari tiket ke separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN