SEREMBAN: Cadangan supaya Barisan Nasional (BN) bertanding tidak kurang daripada 115 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bertujuan membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan selepas pilihan raya tersebut.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasrat BN untuk membentuk kerajaan tidak mungkin tercapai jika ia bertanding kurang daripada jumlah kerusi tersebut.
Beliau berkata, cadangan itu telah dipersetujui secara dasar oleh BN tetapi belum ada keputusan muktamad dibuat mengenainya.
“Jika berhasrat menubuhkan kerajaan mestilah bertanding tidak kurang daripada 112 kerusi. Kalau tidak nanti orang kata, macam mana hendak pilih parti ini? Ia tidak tidak ada cita-cita hendak tubuh kerajaan, (contohnya) bertanding 80 kerusi sahaja. Betul tidak?
“Saya tidak pernah mengata parti lain. Kami hendak bertanding, hendak berguling tengah jalan ke.. biarlah. Tidak perlu komen pasal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO)/Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sembilan (Pekerti) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pengerusi NCWO Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Hasrat bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi itu didakwa dibentangkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi pemukiman tertutup yang berlangsung di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya minggu lalu.
Mohamad menegaskan, cadangan tersebut telah dibincangkan dalam sesi pemukiman itu dan dipersetujui secara dasarnya.
“Belum ada keputusan muktamad. Boleh jadi nanti kalau ada pemikiran-pemikiran yang lain kerana kita parti politik ini, kita dinamik, kita tak statik, kita sentiasa berubah pemikiran,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO berkata, pihaknya belum menerima sebarang makluman atau permohonan daripada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang berhasrat kembali kepada UMNO yang dipecat daripada parti itu pada 2023.
Katanya, bekas ahli parti itu yang dikenakan tindakan disiplin perlu mengemukakan permohonan kepada Setiausaha Agung parti yang akan membawa perkara itu ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti sebelum ke Majlis Tertinggi (MT) untuk diputuskan.
“Setakat peringkat jawatankuasa pengurusan, saya tidak terima apa-apa (permohonan Khairy untuk kembali kepada UMNO),” ujarnya. – UTUSAN









