Mereka pemain terbaik di negara ini - Pan Gon

Mereka pemain terbaik di negara ini – Pan Gon

PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan ke atas Laos dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi cemerlang dipamerkan Harimau Malaya membelasah Laos 5-0 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF, malam tadi, mendapat pujian daripada Kim Pan Gon yang menyifatkan anak-anak buahnya itu membuktikan bahawa mereka adalah pemain terbaik di Malaysia pada ketika ini.

Pengendali skuad kebangsaan itu berkata, pemain telah memberikan 100 peratus pada pertemuan tersebut kerana mereka sedar mendapatkan jumlah jaringan yang besar merupakan misi yang perlu ditunaikan.

“Mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi, pemain membuktikan bahawa mereka adalah pemain terbaik di negara ini.

“Saya sendiri sangat gembira, hari ini merupakan hari yang baik, terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya sewaktu sidang akhbar selepas perlawanan berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini, semalam.

 

Mengulas mengenai persembahan skuad bimbingannya itu, jurulatih dari Korea Selatan itu memberitahu, para pemainnya sedikit bergelut sewaktu separuh masa pertama kerana corak permainan Laos yang berkubu di benteng mereka.

Jelas beliau, pemainnya tidak diberi ruang untuk bergerak bebas, tetapi sebaik perlawanan disambung semula selepas rehat, segala yang dirancang menjadi.

“Saya gembira menyaksikan para pemain segera bangkit dalam babak kedua permainan, mereka tahu perlawanan malam ini amat penting untuk menjaringkan gol yang banyak.

“Kami kalau boleh mahu meledakkan lebih daripada enam gol, para pemain telah mencuba yang terbaik, kadang kala kita tidak mampu menjaringkan gol seperti yang disasarkan,” ujarnya.

FAISAL Halim meraikan jaringannya bersama Lee Tuck ketika membantu kemenangan 5-0 Harimau Malaya.
FAISAL Halim meraikan jaringannya bersama Lee Tuck ketika membantu kemenangan 5-0 Harimau Malaya.

Ketika ditanya kata-kata teguran yang diberikan kepada anak-anak buahnya sewaktu rehat babak pertama, Pan Gon berkata, beliau menggesa para pemain mempamerkan kualiti sebenar mereka kerana ini adalah peluang terbaik untuk berbuat demikian.

“Saya katakan kepada mereka, jadilah lelaki yang berani, buktikan siapa anda, saya memberi dorongan kerana ini adalah peluang mereka.

“Kami tidak boleh persiakan peluang ini, kadang-kadang peluang itu tidak kunjung tiba, jadi kami perlu berusaha, saya rasa para pemain menunjukkan tindak balas yang bagus,” tambahnya.

Menjelang aksi menentang Vietnam, Selasa ini, Pan Gon mahu para pemainnya memberikan tentangan sengit kepada tuan rumah, walaupun, mereka berdepan jadual yang padat dan menguji tahap kecergasan mereka.

Bercakap mengenai bek tengah, Khuzaimie Piee, beliau menjelaskan, hasil laporan yang dikeluarkan oleh pasukan perubatan, tonggak pertahanan negara itu ditimpa kecederaan betis.

Katanya lagi, pasukan perubatan akan cuba yang terbaik untuk merawat Khuzaimie sebaik mungkin agak dia dapat segera sembuh.

Walaupun tidak beraksi, Khuzaimie kelihatan berada di bangku simpanan dan menurut Pan Gon, pemain itu sendiri yang secara sukarela untuk berbuat demikian demi memberikan sokongan kepada rakan sepasukan yang perlu bermain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.