PETALING JAYA: Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain percaya, Malaysia memiliki kualiti untuk pergi jauh dalam Piala AFF 2022 biarpun belum teruji sepenuhnya.
Bekas pengendali Terengganu FC yang kini membimbing Kedah itu bagaimanapun menegaskan, dua aksi persahabatan yang memihak Harimau Malaya tidak boleh dijadikan ukuran kepada kekuatan anak-anak buah Kim Pan Gon.
Sebaliknya ujian sebenar adalah menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF petang ini kerana ia menjadi penentu kemampuan pemain baharu kebangsaan.
Malaysia sebelum ini meraih tonik terbaik untuk memulakan kempen Piala AFF selepas melakar dua kemenangan dalam aksi persahabatan ketika menentang Kemboja 4-0 dan Maldives 3-0.

Pertemuan terakhir dengan Myanmar menyaksikan Malaysia menang 3-0 pada aksi kumpulan A dalam edisi 2018 di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain berkata, secara keseluruhan kekuatan sebenar Harimau Malaya tidak boleh diukur dengan hanya menerusi perlawanan persahabatan.
“Perlawanan persahabatan tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar pasukan, namun saya lihat pemain-pemain yang ada memiliki kualiti.
“Kalau nak tahu kekuatan sebenar atau kekurangan kena tengok pada perlawanan utama.
“Dalam aksi persahabatan jurulatih hanya mahu menilai sejauh mana pemain-pemain itu mampu mengikuti taktikal yang dimahukan.
“Saya percaya pasukan ini mampu pergi jauh. Walaupun muka-muka baharu tetapi mereka antara pemain yang bagus dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selepas bertemu Myanmar, Malaysia akan menentang Laos di Bukit Jalil, Sabtu ini, Vietnam di Hanoi (27 Disember) sebelum menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari). Hanya dua pasukan teratas layak ke peringkat separuh akhir.
Kali terakhir Malaysia merangkul kejuaraan pada 2010 selepas menewaskan Indonesia.