Laos masih dalam proses belajar - Weiss

Laos masih dalam proses belajar – Weiss

PEMAIN Laos melangkah hampa selepas dibelasah 5-0 oleh Malaysia dalam aksi Piala AFF di Bukit Jalil semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laos terima pengajaran berguna apabila mereka dibolosi 11 gol dalam dua perlawanan dan semalam, giliran Harimau Malaya pula membelasah skuad bimbingan Michael Weiss itu 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini.

Menurut pengendali dari Jerman itu, barisan pemainnya masih muda dan tewas dengan jumlah gol yang besar kepada Vietnam serta Malaysia diyakini mampu mematangkan mereka yang cetek pengalaman.

“Kami gagal membendung kesilapan demi kesilapan yang kami lakukan, ironinya, para pemain mengorak langkah yang betul.

“Ini kerana mereka bermain lebih baik (bertemu Malaysia) berbanding sewaktu menentang Vietnam, kami perlu memberikan pujian kepada para pemain kerana mempamerkan semangat juang yang tinggi.

“Mereka masih muda, tetapi perlu berdepan dengan ribuan penyokong, ia satu pengalaman luar biasa, ada dalam kalangan pemain saya beraksi buat kali pertama.

MICHAEL Weiss memberi arahan kepada pemainnya.

“Jadi, apabila tewas dengan jaringan besar, ia merupakan satu pengalaman yang amat berguna buat para pemain,” katanya selepas perlawanan berakhir di sini, semalam.

Weiss berkata, skuad bimbingannya akan berdepan Singapura selepas ini dan mereka perlu segera kembalikan kecergasan bagi mengharungi jadual padat Piala AFF.

“Saya maklumkan kepada pemain selepas perlawanan menentang Vietnam, aksi mereka akan lebih mudah kerana mereka semakin menyesuaikan diri dengan tempo dan kelajuan permainan.

“Pasukan saya semakin hampir untuk mencapai tahap itu, tetapi kami tetap dibolosi 11 gol dalam dua perlawanan, ia sesuatu yang boleh kita jadikan satu pelajaran walaupun perit untuk diterima.

“Inilah cara Laos raih pengalaman, mereka perlu berdepan dengan begitu ramai pemain berpengalaman, sama ada suka atau tidak, kita kena terima dan lupakan apa yang telah berlaku, ini satu pengalaman berguna buat Laos menjelang Sukan SEA yang menjadi fokus kami,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya