Dua beregu Malaysia tempah slot separuh akhir

Dua beregu Malaysia tempah slot separuh akhir

TAN Kian Meng-Lai Pei Jing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengubat kekecewaan peminat di tanah air selepas beregu campuran negara itu mengesahkan slot separuh akhir menjadi milik mereka pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pasangan No. 8 dunia itu menundukkan beregu tuan rumah, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-17, 22-20 untuk aksi Kumpulan B dan sekali gus, menjadi wakil pertama Malaysia mara ke peringkat empat terbaik.

Selang sejam lebih selepas itu, satu lagi berita gembira diterima apabila beregu lelaki Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut layak ke separuh akhir di atas ihsan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho.

Sol Gyu-Won Ho mencipta kejutan ke atas beregu No. 1 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menghuni ranking ketujuh dalam Jelajah Akhir 21-11, 21-19.

Ini bermakna, kekalahan menimpa pasangan Jepun itu telah membuka pintu kepada Yew Sin-Ee Yi mengiringi beregu No. 3 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto ke separuh akhir.

Dalam aksi terdahulu, beregu profesional Malaysia itu menewaskan Fajar dan Rian 10-21, 21-17, 21-19 dalam masa 53 minit untuk perlawanan Kumpulan A.

Pei Jing ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, kemenangan tersebut amat penting buat mereka selepas tewas dalam perlawanan kedua, semalam.

“Untuk permainan, hari ini, kami berusaha mengelak daripada melakukan kesilapan mudah sehingga memberikan mata kepada lawan,” katanya.

Menurut Kian Meng pula, keadaan angin di gelanggang dua turut membantu kepada dia dan Pei Jing bermain dengan lebih lancar berbanding semalam.

“Gelanggang satu lebih berangin berbanding di gelanggang dua, jadi, keadaan itu banyak membantu kami beraksi dengan lebih bagus,” ujarnya.

Mengenai pencabar yang bakal ditentang dua beregu Malaysia pada separuh akhir, esok, undian hanya akan dilaksanakan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas semua perlawanan peringkat kumpulan berakhir malam ini.

Sementara itu, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus dirundung malang apabila ditimpa tiga kekalahan berturut-turut dan kali ini giliran beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pula mengalahkan mereka 19-21, 21-23.

Kekalahan itu bermakna Aaron-Wooi Yik menghuni kedudukan tercorot dalam Kumpulan B.

Dalam satu lagi pertemuan melibatkan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai bertindak menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan A dan keputusan itu memberikan kemenangan percuma ke atas pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya