PARIS: Biarpun gagal mempertahankan Piala Dunia, kejayaan mara ke final tetap dihargai oleh rakyat Perancis apabila kira-kira 50,000 peminat berkumpul menyambut kepulangan wira-wira mereka sebaik sahaja tiba di tanah air semalam.
Sejurus mendarat di Paris, petugas di lapangan terbang turut memberikan penghormatan khas buat barisan pemain Les Bleus dengan dua pramugara berdiri di luar pesawat sambil memegang bendera Perancis.
Mereka kemudiannya diarak menaiki bas menuju ke Place de la Concorde di tengah kota Paris untuk bersama penyokong setia mereka yang menanti sejak dari awal lagi.
Pengendali pasukan, Didier Deschamps menghargai sokongan yang diberikan dan menyifatkan kekalahan kepada Argentina dalam pentas akhir itu sesuatu yang kejam.
Pasukan itu dikecewakan menerusi sepakan penalti apabila kedua-duanya terikat 3-3 sepanjang 120 minit aksi permainan.

“Seluruh pasukan ini berdepan situasi yang cukup rumit ketika ini, malah mungkin ada kesan fizikal dan psikologi.
“Saya tidak risau persembahan mereka dalam final kerana semua telah beraksi cemerlang, saya cuma sedih bagi pihak pemain dan pegawai.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan presiden (Persatuan Bola Sepak Perancis) awal tahun hadapan, dan selepas itu barulah anda akan mengetahuinya,” kata Deschamps mengenai kontraknya yang sudah pun tamat.
Tumpuan Perancis kini Kejohanan Eropah (Euro) 2024 di Jerman, dua tahun lagi dengan mereka berhasrat menjadi juara buat kali ketiga.
“Biar apa pun yang terjadi sepanjang kejohanan ini, kami telah menampilkan kesungguhan dan kekal sebagai satu kumpulan.
“Kami akan teruskan momentum ini untuk kejohanan Euro nanti,” kata kapten dan penjaga gol, Hugo Lloris. – AGENSI