fbpx

Sentuhan Hamberi Mahat bantu Afiq sapu tiga emas olahraga

MUHAMMAD AFIQ MOHAMMAD ALI HANAFIAH (tengah), bergambar bersama Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi (dua dari kiri) dan Flexcyvius Michael Ketet Bakar (dua dari kanan) sewaktu upacara penyampaian pingat 200m lelaki akhir T12 (masalah penglihatan) pada Para Sukma 2022 di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD

KUALA LUMPUR: Mendapat sentuhan bekas pelari pecut negara, Hamberi Mahat, pelari para Johor, Muhammad Afiq Ali Hanafiah memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada jurulatih para kebangsaan itu untuk mempamer rentak konsisten dengan menyapu emas ketiganya pada Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Mencatat masa terpantas 23.33 saat (s), membolehkan atlet kebangsaan berusia 28 tahun itu mengungguli acara 200 meter (m) lelaki akhir bagi kategori T12 (masalah penglihatan).

Pingat perak pula dimenangi oleh Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi dari Wilayah Persekutuan, (24.59s), manakala, gangsa diraih oleh atlet Sarawak, Flexcyvius Michael Ketet Bakar (26.70s).

Aifq ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembiranya terhadap prestasi yang dipamerkan sepanjang Para Sukma setelah mengaut tiga emas dalam acara 100m, 200m dan 400m.

“Untuk 400m semalam, saya berjaya memecah rekod kebangsaan milik saya sendiri menerusi lakaran masa 53.44s, sementara rekod lama yang saya lakukan pada Para Sukma 2018 ialah 55.11s.

“Sejak jurulatih Hamberi mengambil alih tugas sebagai jurulatih skuad para kebangsaan, persembahan saya banyak meningkat terutama dari segi teknik larian dan catatan masa,” katanya.

AHMAD FIZI ROSNI meraih emas ketiganya dalam acara 200 meter lelaki akhir kategori T35/T36 (palsi serebrum) pada Para Sukma 2022 di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/AIZAWATI AHMAD

Mengulas pula mengenai aksinya, hari ini, Afiq yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia memberitahu, kesilapan yang dilakukan sewaktu memulakan larian, telah menyebabkan catatan masa yang dilakukan kurang bagus.

“Inilah kelemahan yang saya tak nampak, tetapi jurulatih Hamberi nampak dan hari ini, saya melakukan kesilapan tersebut,” ujarnya.

Afiq yang sebelum ini dibimbing oleh jurularih R. Jeganathan menjelaskan, dengan pengalaman luas yang dimiliki jurulatihnya itu yang mempunyai lesen kejurulatihan dari Jerman, dia yakin kelemahan yang wujud dapat diperbaiki.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Ahmad Fizzi Rosni memenangi pingat emas dalam acara 200m lelaki T35/T36 (palsi serebrum) setelah melakar masa terpantas 26.27s,

sementara, Mohamad Sobri Ghazali dari Kedah meraih perak (28.02s) dan gangsa menjadi milik, Nelson Sevilin (29.46s).

Kejayaan atlet berusia 22 tahun yang diuar-uarkan mampu menjadi pengganti kepada jaguh pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau Dik Wan memenangi pingat emas 200m, hari ini, menyaksikannya turut mengumpul tiga emas keseluruhan setelah menjuarai acara 100m dan 400m. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN