PETALING JAYA: Sabah FC dipaksa berhempas pulas dan diheret hingga masa tambahan sebelum menyingkirkan kelab Liga Perdana, Kuching City secara agregat 2-1 untuk menempah pertemuan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir Piala Malaysia.
Selepas menang tipis 1-0 di tempat lawan minggu lalu, skuad Sang Badak bimbingan Datuk Ong Kim Swee dikejutkan oleh Kuching City apabila tumpas 0-1 untuk menyaksikan perlawanan terikat 1-1.
Sabah yang sepatutnya boleh mengesahkan tiket separuh akhir lebih awal bagaimanapun diheret ke masa tambahan selepas jaringan sendiri, Ummareng Bacok di minit ke-84 memberikan gol kemenangan kepada pelawat.
Penyerang kelahiran Jepun, Taiki Kagayama tiket separuh akhir akhirnya milik Sabah dengan meledak gol kemenangan hanya empat minit selepas memasuki masa tambahan.
Sabah tidak pernah menjuarai Piala Malaysia dan pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan berprestij itu adalah muncul naib juara tiga kali pada 2003, 2002 dan 1996. Ini juga kali pertama mereka ke separuh akhir sejak 2018.
Skuad Sang Badak akan menerima kunjungan Harimau Selatan di Stadium Likas pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Selasa depan sebelum bertandang ke Johor untuk aksi timbal balik, Ahad depan. – UTUSAN ONLINE