LONDON: Pengendali Chelsea, Graham Potter percaya, Raheem Sterling menerima kritikan yang tidak adil, dan dia yakin pemain sayap itu akan menyerlahkan kualiti terbaik bersama England pada Piala Dunia 2022.
Chelsea mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris dan gagal mencatat kemenangan daripada empat aksi terakhir liga, sekali gus meletakkan mereka di tangga ketujuh.
“Setiap pemain akan melalui detik dalam kerjaya mereka di mana ia tidak begitu positif dan kadang-kadang mereka melalui tempoh di mana semua yang disentuh emas.
“Anda tidak patut menuding jari kepada individu apabila pasukan tidak berfungsi sebaik dimahukan, itu memberi kesan kepada mereka. Raheem sebahagian daripada pasukan, tugas kami adalah memperbaiki pasukan dan strukturnya,” katanya.

Dia menegaskan Sterling akan mengatasi masalah prestasi buruknya menjelang Piala Dunia kerana pemain sayap England itu sudah membuktikan kualiti terbaiknya pada tahap tertinggi.
Sterling bergelut sejak menyertai Chelsea dari Manchester City pada hujung musim lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu hanya menjaringkan dua gol sejak ketibaan Potter pada 8 September bagi menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat dan gagal bermain dengan baik ketika Chelsea tewas 0-1 kepada Arsenal, Ahad lalu.
“Saya tidak meragui kualiti dan kebolehan Raheem. Dia sudah terbukti antara pemain terbaik,” kata Potter.
Sterling menjaringkan tiga gol untuk Chelsea sebelum kedatangan Potter, tetapi gol Liga Perdana Inggeris terakhirnya adalah ketika menentang Southampton pada 30 Ogos. – AGENSI