Pahlawan Merah dibaham Harimau Selatan

Pahlawan Merah dibaham Harimau Selatan

ABDUL Latiff Suhaimi (dua, kanan) cuba melepaskan diri daripada Syafiq Ahmad pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad lV, Kota Bharu. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kejutan yang diharapkan daripada Kelantan FC tidak menjadi kenyataan apabila dibaham 0-3 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Biarpun mendapat sokongan hampir 20,000 penonton, Harimau Selatan nyata terlalu ampuh, sekali gus sebelah kaki menghampiri separuh akhir.

Berdepan pasukan terbaik Liga Malaysia, Kelantan FC memilih pendekatan  bertahan sambil mengintai peluang melancarkan serangan balas.

JDT lebih dahulu membuka jaringan melalui tandukan Bergson da Silva pada minit ke-29 selepas menerima sepakan sudut diambil Leandro Velazquez.

Kelantan FC sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua hasil tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-37 selepas menerima hantaran cantik Mohd. Afiq Fazail.

Tuan rumah yang ketinggalan dua gol cuba bangkit, namun terlalu sukar menyaingi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu dan kedudukan kekal 0-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT semakin selesa membimbing perlawanan sementara Kelantan terpaksa berhempas pulas untuk cuba merapatkan jurang gol.

Pasukan pelawat yang mendahului perlawanan ternyata masih dahagakan gol apabila beberapa kali membuat percubaan ke gawang pasukan tuan rumah.

Memasuki minit ke-74, Leandro menambah derita tuan rumah melalui jaringan gol ketiga selepas dengan mudah menggelecek beberapa pemain Kelantan FC.

Bagaimanapun kem pelawat terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd. Afiq diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain tuan rumah.

Kekurangan seorang pemain tidak menjejaskan rentak Harimau Selatan apabila terus menguasai perlawanan dan menyekat setiap serangan direncanakan oleh kem tuan rumah.

The Red Warriors (TRW) yang semakin tertekan terus buntu apabila setiap serangan mereka berjaya dipatahkan oleh JDT menyaksikan kedudukan kekal 0-3 sehingga wisel penamat.

Di penghujung perlawanan pemain Kelantan, Jasmir Mehat pula diperintah keluar padang selepas menerima layangan kad kuning kedua.

Kekalahan tersebut menyaksikan Kelantan FC bakal berdepan laluan berliku apabila Harimau Selatan membawa balik bekalan selesa bagi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya