Malaysia pada prestasi terbaik hadapi Piala Dunia - Ahmad Faizal

Malaysia pada prestasi terbaik hadapi Piala Dunia – Ahmad Faizal

AHMAD Faizal Azumu antara ribuan penyokong yang hadir memberi sokongan kepada skuad hoki negara dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh semalam. - IHSAN FB AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Prestasi skuad hoki kebangsaan berada di tahap terbaik untuk menghadapi Piala Dunia 2023 di India selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Piala Sultan Azlan Shah 2022, semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, momentum positif Speedy Tigers mampu meletakkan mereka pada kedudukan terbaik apabila berentap dalam kejohanan yang berlangsung di Bhubaneswar dari 13 hingga 29 Januari.

“Saya harap dalam pusingan akhir Piala Dunia nanti kita akan dapat tempat yang terbaik.

“Kalau melihatkan persembahan semalam, dengan semangat yang telah ditunjukkan tidak mustahil kita mampu memberi cabaran terbaik di India,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahun (ARPRM) 2022 di Meru di sini hari ini.

 

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menumpaskan Korea Selatan 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam untuk muncul juara buat kali pertama sejak 1983. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Pada majlis itu, seramai 95 remaja menerima sijil pentauliahan ARPRM Tahap Emas. ARPRM merupakan sebuah program diadaptasi daripada ‘The Duke of Edinburgh’s International Award’ yang menyasarkan golongan remaja berusia 14 hingga 25 tahun.

Melalui program itu, peserta akan didedahkan dengan konsep ketekunan, disiplin, kepimpinan, kemahiran, semangat jati diri, tanggungjawab dan kesukarelawanan.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, kejayaan skuad hoki negara itu telah membuka mata ramai pihak untuk melihat potensi barisan pemain.

“Saya amat berbangga dengan mereka, ini satu pencapaian yang amat baik dan saya percaya pasukan ini akan pergi lebih jauh lagi.

“Tentunya kejayaan ini akan mengalu-alukan penajaan daripada pihak swasta untuk memberi perhatian kepada pasukan hoki. Tentunya juga kita akan terus memberi peruntukan yang sepadan dengan apa yang mereka capai,” katanya.

Selepas 39 tahun menanti, Malaysia akhirnya memahat sejarah menjulang kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi sengit 3-2.

Malaysia telah membuat sembilan penampilan dalam Piala Dunia dengan pencapaian terbaik menduduki tangga keempat ketika menjadi tuan rumah pada 1975. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.