LIVERPOOL: Jurgen Klopp menegaskan, dia tidak pernah meragui kualiti Liverpool dan gembira dengan cara mereka bangkit daripada kemerosotan prestasi ketika menumpaskan Napoli 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, Liga Juara-Juara semalam.
The Reds mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris menjelang pertembungan dengan Napoli – kalah 1-2 kepada Leeds United di laman sendiri, Sabtu lalu dan dimalukan 1-0 oleh kelab tercorot, Nottingham Forest seminggu sebelum itu.
Ketika ramai yang melihat Liverpool berada di ambang kejatuhan, jaringan lewat minit Mohamed Salah serta pemain gantian, Darwin Nunez memberi kemenangan kelima berturut-turut buat pasukan itu dalam kempen Liga Juara-Juara.
Tiga mata yang diraih di Anfield bagaimanapun belum memadai untuk Reds memintas Napoli yang menamatkan kempen selaku juara Kumpulan A. Kedua-dua pasukan berkongsi 15 mata tetapi dipisahkan oleh perbezaan jaringan.
“Ini reaksi yang saya mahu lihat. Kami perlu menunjukkan tindak balas (selepas kekalahan kepada Leeds) dan pemain melakukannya dalam perlawanan sukar menentang lawan yang sangat bagus.
“Saya tidak pernah meragui kualiti pasukan, malah saya tidak fikir sesiapa pun meragui kualiti yang kami miliki. Masalah kami adalah tidak konsisten,” kata Klopp.
Menurut Klopp kemenangan ke atas Napoli, yang berada pada prestasi terbaik, tidak kalah dalam 17 perlawanan terdahulu dan menerajui Serie A tindak balas sempurna untuk melonjakkan keyakinan Liverpool.

Jaringan Salah pada minit ke-85 membolehkan bintang Mesir itu menyamai rekod legenda kelab, Steven Gerrard yang meledak 41 gol di pentas Eropah.
Sementara itu, Salah menegaskan, kemenangan ke atas pasukan terbaik Eropah memberi keyakinan kepada pasukan untuk bangkit mencabar gelaran serta memperbaiki kedudukan dalam liga domestik.
Hanya menang empat daripada 12 perlawanan Liga Perdana musim ini meletakkan juara Eropah enam kali itu terperosok ke kedudukan kesembilan.
“Ini keputusan yang baik dan akan memberi lebih keyakinan kepada kami untuk merebut piala serta liga,” katanya. – AGENSI