KUALA NERUS: Diasak habis-habisan, hilang seorang pemain akibat kad merah, malah penjaga gol, Khairulazhan Khalid hampir dikeluarkan kerana berlaga dengan pemain lawan, Selangor FC menampilkan karakter luar biasa untuk mara ke final Piala Malaysia 2022.
Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe berkata, pemainnya menunjukkan kekuatan mental dan karakter sebenar ketika menyingkirkan Terengganu FC 3-2, biarpun tumpas 1-0 dalam separuh akhir kedua.
Menurut bekas pengendali kebangsaan itu, layangan kad kuning kedua ke atas Yazan Al-Arab, tiga minit sebelum tamat, turut meletakkan Selangor dalam keadaan genting.
“Persembahan pemain saya sangat cemerlang malam ini terutama selepas bermain 10 orang, kami tidak membenarkan Terengganu menambah gol.
“Tidak dinafikan jika lawan menjaringkan gol kedua atau perlawanan diheret ke masa tambahan, Selangor akan tertekan dan skrip mungkin berbeza akibat kekurangan pemain.
“Saya bangga dengan semangat juang pemain yang mengawal situasi serta serangan bertubi-tubi Terengganu selain kekal fokus sehingga wisel penamat,” katanya.

Dalam separuh akhir kedua kelmarin, gol tunggal Kipre Tchetche gagal menyekat Selangor ke perlawanan akhir.
Kejayaan itu bagaimanapun dicemari insiden Yazan yang diarah keluar padang sekaligus terpaksa diketepikan untuk pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.
Situasi itu tidak menggusarkan Cheng Hoe yang menyifatkan Sharul Nazeem Zulpakar dan Tetteh Ankrah mampu digandingkan sebagai benteng.
“Afro (Sharul Nazeem) beraksi cemerlang mengawasi setiap pergerakan Tchetche sepanjang 90 minit permainan, manakala Akrah tenang menggantikan tempat Yazan.
Pertemuan dengan JDT dianggap senario paling menarik dalam Piala Malaysia kerana Selangor turun sebagai juara 33 kali dan digelar ‘King of Malaya’.
JDT pula pasukan negara ketika ini, dengan rekod tanpa kalah sepanjang tahun dan mempertahankan Liga Super sembilan musim berturut-turut.
Begitupun kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia adalah pada 2015 apabila menewaskan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir.