JDT, Selangor, KL City, Sabah pilihan ke separuh akhir

JDT, Selangor, KL City, Sabah pilihan ke separuh akhir

PASUKAN KL City FC menerima enam hukuman daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara bertahan, Kuala Lumpur City (KL City) menjadi pilihan untuk mengetepikan pasukan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini, Terengganu FC bagi mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Ramalan itu berdasarkan prestasi semua lapan pasukan yang akan berentap pada suku akhir pertama bermula malam ini dan esok sepanjang saingan domestik serta antarabangsa musim ini.

Begitupun, faktor cuaca juga mampu membawa perbezaan kepada peluang mereka kerana akan menjejaskan permainan serta strategi.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd. Sadek Mustafa berkata, di atas kertas, JDT hampir pasti akan memenangi pertembungan dengan Kelantan FC, malah Harimau Selatan calon untuk bermain di final.

JDT menjadi pilihan untuk melangkah ke final Piala Malaysia dan muncul juara.

“JDT pasukan final, cuma saya percaya Kelantan akan memberi saingan sengit dalam aksi pertama di laman sendiri.

“Untuk menyaksikan kejutan berlaku agak mustahil tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi.

“Saya juga memilih KL City berbanding Terengganu FC walaupun kita lihat anak-anak didik Nafuzi Zain garang di peringkat 16 terbaik (menum­paskan Sri Pahang agregat 9-3).

“Pengalaman dimiliki KL City dalam Piala AFC memberi banyak kelebihan, begitu juga taktikal Bojan Hodak yang kita tahu sememangnya sukar diramal,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

SELANGOR menjadi pilihan untuk mengetepikan Negeri Sembilan di suku akhir.

Mohd. Sadek yang juga ­Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam turut memilih Selangor berbanding Negeri Sembilan dengan mengambil kira impak dibawa Tan Cheng Hoe.

“Kecederaan beberapa pemain utama Negeri Sembilan juga memberi kesan buat pasukan, bagi Selangor pula ia banyak bergantung kepada keberkesanan pemain mengikut arahan Cheng Hoe.

“Jika berjaya melaksanakan tidak mustahil Gergasi Merah Kuning akan mara ke peringkat seterusnya dengan kemenangan tipis,” tegasnya.

SABAH FC menunjukkan prestasi baik di bawah bimbingan Ong Kim Swee.

Katanya, pemilihan Sabah sebagai pasukan terakhir yang akan menentang JDT di separuh akhir berdasarkan, ­permainan Sang Badak kini sudah berbeza.

“Sabah bermain sebagai satu pasukan berbeza di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee. Mereka memiliki corak permainan yang boleh ditukar mengikut kesesuaian.

“Walaupun Kuching City mampu memberikan saingan saya percaya Sabah akan ­melangkah ke pusingan sete­rusnya,” katanya.

MOHD. Azrai Khor memilih Terengganu FC akan melangkah ke separuh akhir, mengetepikan KL City.

Jurulatih berpengalaman, Mohd. Azrai Khor Abdullah bagaimanapun memilih JDT, Sabah, Terengganu dan Negeri Sembilan sebagai calon empat pasukan ke separuh akhir.

“Prestasi JDT musim ini tidak perlu diperkatakan lagi, manakala Sabah pula ­keserasian pemain mereka ­terserlah walaupun baru dibentuk bawah pimpinan Ong Kim Swee.

“Terengganu mereka memiliki Kpah Sherman, Kipre ­Tchetche, Manuel Ott dan Faisal Halim yang dianggap penggerak utama pasukan serta mampu membawa perbezaan.

“Begitu juga Negeri Sembilan yang memiliki Herold Goulon selain beberapa pertahanan kental yang mampu memberikan impak buat pasukan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya