PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglia menyeru pemainnya agar tidak terbuai dengan prestasi semasa, sebaliknya kekal fokus dalam usaha mencipta sejarah apabila menentang Kelantan FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu esok.
Kata Bidoglia, beliau sentiasa menekankan kepada pasukan bahawa setiap perlawanan penting tidak kira kelab mana yang kita hadapi dan sudah tentu tumpuan harus diberikan pada satu aksi ke satu aksi.
“Apa yang penting, saya mahu pasukan fokus kepada prestasi sendiri berbanding memikirkan tentang kelab lawan.
“Selain itu, masih ada penambahbaikan yang perlu pasukan pamerkan di atas padang terutama dari segi penguasaan dan hantaran bola yang perlu dilakukan lebih pantas,” ujarnya.
Tambah Bidoglio, dia turut memberi bayangan bahawa tonggak naturalisasi Indonesia, Jordi Amat mungkin akan diberikan peranan selepas berada dalam skuad utama buat kali pertama dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Amat adalah pemain yang penting dan dia cukup profesional serta bersedia membantu pasukan ketika diperlukan. Namun, saya masih belum memikirkan tentang kesebelasan pada perlawanan seterusnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE