LONDON: Pasukan Arsenal bertandang ke Stamford Bridge membawa misi serampang dua mata, menang bukan sahaja untuk kembali menerajui takhta Liga Perdana Inggeris, tetapi sebagai maruah untuk menentukan raja bola sepak di kota London.
Chelsea pula menurunkan bekas penyerang pelawat, Pierre Emerick Aubameyang dalam kesebelasan utama, bagaimanapun Aubameyang gagal memberikan impak di jentera serangan The Blues sehingga memaksa pengurus, Graham Potter menukarnya di babak kedua.
Arsenal banyak menguasai permainan, namun tiada jaringan dapat dihasilkan sehingga tamat babak pertama.
Semuanya berubah apabila sepakan penjuru yang diambil Bukayo Saka pada minit ke 63 mengelirukan pertahanan Chelsea dan kesempatan itu dimanfaatkan Gabriel Magalhaes untuk menampan bola ke gawang, menewaskan Edouard Mendy.
Arsenal makin bernafsu selepas itu, bagaimanapun beberapa peluang yang terhidang untuk Gabriel Jesus dan Martin Odegaard tidak diterjemahkan dengan baik.
Perlawanan kian tegang apabila pengadil perlawanan Michael Oliver terpaksa mengeluarkan lima kad kuning kepada pemain Chelsea dan dua buat pemain Arsenal, dengan kemuncaknya apabila pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka diasak Trevor Chalobah dan Mateo Kovacic di penghujung babak kedua kerana cubaan melambatkan permainan.
Bagaimanapun keadaan segera dileraikan, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini meletakkan Arsenal meraih 34 mata keseluruhan untuk kembali merampas status pendahulu liga daripada tangan pencabarnya, Manchester City yang mengumpul 32 mata.-UTUSAN ONLINE