Harimau Malaya 'salin kulit'

Harimau Malaya ‘salin kulit’

PEMAIN kebangsaan, Khuzaimi Piee (kiri), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed(tengah) dan V. Ruventhiran memperagakan jersi baharu Harimau Malaya pada majlis pelancarannya di Sunway Pyramid hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya tampil memperkenalkan jersi terbaharu edisi 2022-2024 daripada Nike yang bertemakan ‘Demi Lencana Di Dada’ dengan semangat juang bermain untuk negara mengatasi segalanya.

Jersi utama atau jersi ‘home’ edisi kali ini kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar bulatnya berwarna hitam manakala jersi kedua atau jersi ‘away’ juga terus dikekalkan warna hitam sebagai warna dominan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, jersi ‘home’ kali ini memang reka bentuknya akan dinilai oleh peminat bola sepak negara sebagai terlalu ringkas, namun ia sebenarnya membawa maksudnya yang tersendiri.

HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) bersama Pengarah Pemasaran Nike Sports Asia Tenggara dan India, Christopher John Madsen pada majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya di Sunway Pyramid, hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

“Kalau jersi ‘home’ kita sebelum ini berkolar dan mempunyai sedikit warna hitam di lengan dan bahagian sisi, jersi ‘home’ kali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila keseluruhan jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.

“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi ‘home’ kali ini bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka (pemain) bermain ‘Demi Lencana Di Dada’, katanya pada Majlis pelancaran jersi baharu di Football Republic Sunway Pyramid, Selangor, sebentar tadi.

Tambah Hamidin, bagi jersi ‘away’ pula, sama seperti edisi 2020-2022 apabila warna hitam sebagai warna dominan mula diperkenalkan, ia dikekalkan sebagai warna jersi ‘away’ kali ini kerana kita mahu warna tradisi hitam dan kuning sentiasa ada biarpun pada jersi kedua.

“Semoga dengan jersi baharu ini, ia akan memberikan semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya apabila mereka beraksi di pentas Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember ini, seterusnya pada Piala Asia 2023 di Qatar.

“Begitu juga bagi perlawanan-perlawanan antarabangsa lain, termasuk juga untuk pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan wanita, remaja, futsal dan juga bola sepak pantai.

“Terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 15 tahun ini (sejak 2007) yang mana sudah tentu jersi edisi 2022-2024 ini akan tinggi nilainya kerana ia bakal ‘beraksi’ di pentas Piala Asia 2023,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN