BASEL: Badan bola sepak dunia, FIFA mengutus surat kepada semua 32 pasukan yang akan berentap dalam Piala Dunia Qatar agar hanya memberi tumpuan kepada bola sepak dan tidak mencampuri isu lain.
Kejohanan yang akan membuka tirai pada 20 November ini sudah terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Qatar dikritik atas pendiriannya untuk menghalang hubungan sejenis (LGBT), rekod hak asasi manusia serta layan terhadap pekerja asing.
Beberapa pemain merancang untuk membuat perhimpunan aman sebagai protes terhadap penganjur, antaranya kapten England, Harry Kane bersama sembilan lagi ketua pasukan Eropah yang akan memakai lilitan lengan ‘Satu Cinta’.
Denmark pula akan memakai baju bertona malap sebagai tanda protes terhadap Qatar, dan tidak mahu ‘menonjol’ dalam kejohanan yang dikatakan telah mengorbankan banyak nyawa.

Paris dan beberapa bandar di Perancis pula enggan mengadakan tayangan skrin gergasi di tempat awam biarpun Perancis adalah juara bertahan.
Australia telah mengeluarkan klip video menggesa Qatar memansuhkan undang-undang larangan hubungan sejenis.
“Semua pihak dialu-alukan tanpa mengira latar belakang, agama, jantina, orientasi seksual serta warganegara.
“Kami sedar dengan cabaran yang dihadapi kini dan kesukaran dari sudut politik menjangkau rentas sempadan dunia,” tulis surat yang ditandatangani Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Ini kali pertama Piala Dunia berlangsung ketika musim sejuk biarpun Qatar pada mulanya mahu menganjurkan kejohanan pada musim panas dalam stadium yang dilengkapi pendingin hawa, namun idea itu telah ditolak.
Sebanyak tujuh stadium baharu telah dibina, selain landasan kapal terbang, jalan raya dan 100 buah hotel bagi menghadapi kejohanan ini.
Untuk itu, Qatar telah mengupah 30,000 pekerja asing dari Bangladesh, India, Nepal dan Filipina.
Kumpulan hak asasi manusia membuat aduan tentang layanan buruk mereka terhadap pekerja asing tersebut, hingga ada yang meninggal dunia. – AGENSI