PETALING JAYA: Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd. Salleh sekali lagi mendapat kepercayaan untuk bertugas dalam Piala Dunia.
Pemilihannya ke Qatar 2022 yang dijadualkan bermula pada 20 November ini menjadi penglibatan kali keempat buat pengadil berpengalaman itu, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Din.
Kali pertama Subkhiddin bertugas dalam Piala Dunia selaku pegawai keempat di Afrika Selatan 2010 sebelum terlibat dengan Piala Dunia Brazil 2014, dan Russia 2018 selaku Instruktur Teknikal Pengadil.
“Ia satu penghormatan dan pengiktirafan yang bermakna bukan hanya untuk diri saya tetapi juga buat Malaysia.
“Tentu sekali setiap Piala Dunia mempunyai keistimewaan dan perbezaan.
“Bukan satu tugas mudah tetapi tanggungjawab yang diamanahkan akan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Subkhiddin, 55, merupakan Tenaga Pengajar Teknikal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Korea.
Beliau akan bertanggungjawab merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.
Mengiringi Subkhiddin ke Qatar adalah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj selaku pegawai media.

Ini kali kedua beliau akan bertugas dalam Piala Dunia selepas di Russia 2018.
Christopher akan memulakan tugas pada aksi pembukaan Kumpulan G di antara Switzerland dan Cameroon di Stadium Al Janoub.
Piala Dunia yang melibatkan 32 pasukan akan diadakan di lapan venue – Stadium Lusail, Stadium Al Janoub, Stadium Al Thumama, Stadium Al Bayt, Stadium 974, Stadium Ahmad Bin Ali, Stadium Antarabangsa Khalifa dan Stadium Education City.