WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyeru barisan pemain negara yang akan beraksi di Piala Dunia Qatar untuk membuat kejutan di kejohanan itu.
Biden, 80 tahun membuat panggilan telefon kepada jurulatih Gregg Berhalter memberikan amanatnya kepada pasukan Amerika Syarikat menjelang pertemuan pasukan itu menentang Wales pada Isnin.
Amerika Syarikat pernah meraih kedudukan ketiga ketika edisi 1930 di Uruguay, bagaimanapun pasukan itu tidak pernah mara jauh melebihi peringkat suku akhir, kecuali pada edisi 2002 di Korea/Jepun, mereka tewas tipis 1-0 kepada Jerman hasil jaringan Michael Ballack.
“Saya tahu anda semua bukan pasukan pilihan, tetapi saya ingin memberitahu anda, yang anda mempunyai antara pemain terbaik dunia dalam pasukan ini, mewakili negara, dan saya tahu anda akan bermain bersungguh-sungguh, jadi mari kita berikan mereka semua kejutan.
“Terus mempercayai antara satu sama lain, beraksi sepenuh hati, untuk diri anda dan keluarga, rakan sepasukan dan seluruh negara kini sedang memberikan sokongan buat anda,” jelas Biden.
Pasukan Amerika Syarikat turut akan berdepan dengan pasukan pilihan, England dan Iran dalam kumpulan B, selepas tidak dapat menyertai edisi 2018 di Rusia.