MANCHESTER: Pengendali Manchester United (MU), Erik Ten Hag percaya pasukannya mampu menyaingi musuh sebandar, Manchester City, namun ia memerlukan tempoh berbulan untuk mencapai tahap itu.
Jurulatih dari Belanda itu dikecewakan dengan prestasi suram Red Devils minggu lalu apabila dibenam 6-3 oleh City, yang menyaksikan skuad The Citizens mengekori rapat pendahulu liga, Arsenal dengan satu mata, manakala United ketinggalan sembilan mata.
Menjelang pertemuan menentang Everton esok, Ten Hag menjelaskan, pasukannya memerlukan daya usaha tinggi dan mula menunjukkan petanda peningkatan.
“Ketika ini, jelas Manchester City berada dalam standard berbeza tetapi kami boleh menyamainya,” kata Ten Hag.
United telah menandatangani Athony dari Ajax Amsterdam serta bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Real Madrid, Casemiro untuk
membantu mereka keluar daripada prestasi buruk sejak beberapa musim lepas.
Kehadiran rekrut baharu itu menunjukkan impak, namun isu konsisten sering menjadi masalah terbesar United.
“Kita boleh lihat ketika menentang Liverpool (menang 2-1) dan Arsenal (3-1) tetapi kita perlu lebih konsisten.
“Itulah perkara yang kita perlu usahakan tapi kejayaan tidak datang bergolek, ia memerlukan masa lebih beberapa minggu, atau mungkin berbulan,” ujar Ten Hag. – AGENSI