KUANTAN: Walaupun keputusan baki tiga perlawanan Liga Super tidak memberi banyak makna kepada Sri Pahang yang sudahpun terkeluar daripada kelompok empat terbaik, namun Tok Gajah akan menurunkan barisan terkuat apabila menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok untuk menjadi pasukan pertama mencalarkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan musim ini.
Pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh bebas daripada sebarang kecederaan membolehkan beliau membariskan kesebelasan utama terbaik untuk menghadapi anak-anak buah Hector Bidoglio di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
“Tiada masalah kecederaan dalam kalangan pemain dan saya berpeluang untuk memilih yang terbaik antara mereka pada perlawanan malam esok (malam ini),” kata Dollah.

Dollah menjangkakan pertembungan menarik di Kuantan esok, kerana meskipun JDT sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut minggu lalu, namun mereka pastiknya tidak rela rekod bersih tercalar.
Dollah mahu anak buahnya meneruskan rentak kemenangan ketika menewaskan skuad Sarawak FC 4-1 walaupun rekod di Stadium Darul Makmur sebelum itu tidak memihak Sri Pahang.
Sri Pahang tewas pada dua perlawanan berturut-turut sebelum itu ketika berdepan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City (0-2) di gelanggang sendiri.

Sri Pahang kini berada di tangga ketujuh liga dengan 24 mata sudah pasti mahu mengukuhkam kedudukan untuk lebih selesa dalam kelompok ke Piala Malaysia jika dapat memungut tambahan mata.
Penyerang sensasi Sri Pahang, Steven Rodriguez berpeluang menambah koleksi jaringan kerana pemain pertahanan JDT, Shane Lowry tidak dapat diturunkan kerana patah siku.
Walaupun JDT tidak ketandusan pemain pertahanan tetapi ketiadaan Lowry sudah pasti membuka ruang lebih besar untuk menembusi kubu JDT, begitu juga dengan ketiadaan Bergson Da Silva yang terpaksa direhatkan kerana menerima kad merah ketika melayan Kedah di Stadium Darul Aman. – UTUSAN ONLINE