PETALING JAYA: Biarpun pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menegaskan, pasukannya sedia melakukan ‘Guard of Honour’ kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum aksi Liga Super malam ini, namun perbarisan hormat itu mungkin tidak akan berlaku.
Kekalahan Sabah kepada Terengganu FC, Sabtu lalu memastikan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut ketika saingan masih berbaki empat perlawanan.
Ramai menjangkakan JDT mendapat ‘Guard of Honour’ atau perbarisan hormat apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Situasi itu dilihat sesuatu yang menarik buat peminat bola sepak tanah akhir, terutama dengan ‘permusuhan’ di antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor.

Bagaimanapun menurut laporan portal bola sepak tempatan, tiada ‘Guard of Honour’ akan dilakukan malam ini kerana ia hanya akan dibuat pada aksi terakhir liga.
Bermakna, JDT dijangka menerima penghormatan itu apabila bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada 15 Oktober ini, di mana mereka akan turut menjulang trofi liga. – UTUSAN ONLINE