KUALA LUMPUR: Kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang selain kesilapan sendiri nyata meranapkan impian Kuala Lumpur City (KL City) untuk menjulang Piala AFC.
Berjaya memberikan tekanan dan mengimbangi perlawanan sebelum Al-Seeb menjaringkan gol pertama, The Hawks pada asasnya mampu berhadapan dengan kelab dibarisi enam pemain utama skuad kebangsaan, Oman.
Bagi pengendali KL City, Bojan Hodak, dia menyifatkan kekalahan 0-3 pasukannya kepada Al Seeb kerana kesilapan sendiri.
Tegasnya, perlawanan juga mungkin berbeza sekiranya skuad City Boys berjaya mendapatkan gol pembukaan menerusi beberapa peluang pada awal permainan.
“Saya sudah katakan sebelum perlawanan bahawa mereka (Al-Seeb) pasukan yang berkualiti dan jika kami buat kesilapan, kami akan dihukum.
“Untuk memenangi perlawanan seperti ini, anda perlu menampilkan permainan yang sempurna selain turut bergantung kepada nasib.
“Jika kami dapat jaringkan gol pertama (pada awal permainan), mungkin perlawanan akan berbeza.
“Bagi aksi final, kita perlu dapatkan gol, jika tidak, pasukan terbaik Asia akan menghukum anda,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.
Sementara itu, pemain sayap KL City, Zhafri Yahya pentas final Piala AFC bukan rezeki buat dirinya dan juga pasukan.
“Bagi saya ianya bukan rezeki kami pada malam ini kerana kami mempunyai dua tiga peluang yang seharusnya dijaringkan tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi.
“Al-Seeb juga hanya mempunyai dua tiga peluang tetapi mereka menjaringkan gol dan mungkin malam ini bukan malam kami.
“Sudah semestinya kami kecewa kerana apabila sudah sampai ke final sudah pasti kita hendak menjadi juara.
“Kekalahan 3-0 ini agak besar buat kami dan saya kecewa dengan keputusan ini,” katanya.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Al-Seeb yang merupakan pasukan pilihan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Ali Sulaiman Al Busaidi dan Abdul Aziz masing-masing meledak satu gol pada minit ke-22 dan minit ke-36 sebelum Muhsen Saleh Al Ghassani meledak gol ketiga minit ke-69 untuk kemenangan 3-0 mengatasi KL City FC. – UTUSAN ONLINE