Terengganu tawar lanjutan kontrak Nafuzi

Terengganu tawar lanjutan kontrak Nafuzi

NAFUZI ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) akhirnya bersetuju menawarkan lanjutan kontrak kepada ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain untuk membimbing pasukan itu musim depan.

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC selama lebih dua jam yang dipengerusikan Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Wan Sukairi yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah berkata, pengurusan tertinggi TFC sangat berpuas hati dengan pencapaian skuad Sang Penyu di bawah kendalian Mohd. Nafuzi pada musim ini.

Menurut beliau, pengendali meningkat naik itu berjaya mencapai sasaran iaitu layak ke Piala AFC 2023 serta melangkah ke final Piala FA walaupun tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tawaran berkenaan akan diserahkan secepat mungkin dan sekarang terpulang kepada beliau (Nafuzi) sama ada mahu menerima tawaran daripada TFC atau sebaliknya.

“Beliau perlu memberi jawapan dalam masa 14 hari setelah menerima surat tawaran tersebut.

“Namun keputusan ini dibuat setelah kami menilai pencapaian TFC yang sangat baik tahun ini dan tawaran sama turut diberi kepada ketua jurulatih TFC II, III dan IV,” jelasnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, perancangan TFC musim depan turut menjadi agenda dan bersetuju menyerahkan kepada ketua jurulatih untuk menentukan pemilihan pemain.

Begitu juga jawatan pengarah teknikal yang ketika ini digalas jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner, turut dikekalkan sebagai sebahagian daripada pasukan.

“Diharap perkembangan ini memberi motivasi dan semangat kepada pasukan TFC untuk mengharungi Piala Malaysia di mana kami optimis Nafuzi mampu meneruskan kecemerlangan.

“Sekiranya beliau menolak tawaran ini, pihak pengurusan akan menilai semula calon-calon terbaik bagi membawa cabaran TFC pada saingan domestik dan AFC, musim depan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya