BUENOS AIRES: Seorang peminat maut, manakala ratusan lagi cedera selepas berlaku rusuhan membabitkan polis tempatan ketika perlawanan liga bola sepak utama Argentina di antara Boca Juniors dan Gimnasia semalam.
Penyokong mengasak polis dalam cubaan memasuki Stadium Juan Carmelo Zerillo yang sudah padat.
Polis yang cuba untuk meleraikan kumpulan penyokong berkenaan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah, menyebabkan keadaan menjadi huru-hara sehingga perlawanan tertangguh selama sembilan minit.
Pihak polis kemudian mengunci pagar bagi menghalang penyokong meninggalkan stadium, dan situasi menjadi tidak terkawal apabila ribuan penonton menyerbu ke tengah padang untuk melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata.
Menteri Keselamatan Buenos Aires, Sergio Berni mengesahkan seorang penyokong Gimnasia berusia 57 tahun, yang mengalami masalah jantung meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital, sementara seorang kanak-kanak menjadi buta akibat terkena gas pemedih mata.

“AFA (Persatuan Bola Sepak Argentina) tidak dapat menerima kejadian yang berlaku di Gimnasia dan melaungkan komitmen untuk membasmi insiden yang mencalarkan bola sepak,” kata badan bola sepak negara itu dalam satu kenyataan.
Penyokong Boca telah diharamkan menghadiri perlawanan tersebut sebagai langkah mengelak insiden buruk berlaku, iaitu sejak rusuhan tercetus pada 2013.
Ini tragedi bola sepak kedua membabitkan gas pemedih mata selepas insiden di Indonesia minggu lalu yang meragut nyawa 131 penyokong. – AGENSI