PETALING JAYA: Meskipun diatas kertas Selangor FC dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan berdepan Kelantan United pada aksi pusingan ke-16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, esok.
Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe tidak mahu memandang mudah keupayaan pasukan lawan daripada Liga Perdana itu dan menyifatkan keputusan hanya akan ditentukan pada aksi 180 minit perlawanan.
Empat rekod perlawanan tanpa kalah sebaik sahaja Cheng Hoe membimbing pasukan membuktikan, Gergasi Merah Kuning kini berada di landasan tepat untuk melangkah lebih jauh malah tidak keterlaluan misi kejuaraan 34 mampu dijulang.
“Kalau kita lihat pusingan ke-16 ialah penentuan 180 minit perlawanan dan untuk kita beraksi di tempat lawan bukan mudah.
“Setiap kali apabila Kelantan United bermain di laman sendiri mereka cukup bersemangat dan agresif.
“Sebenarnya sama ada pasukan mahupun saya sendiri kita belum bertemu dalam saingan sebelum ini dan itu sedikit membimbangkan kami.
“Kami tidak boleh ambil mudah tentang pasukan lawan, mereka memiliki beberapa pemain import berkualiti begitu juga tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pengendali kelahiran Kedah ini juga akan tetap mempamerkan corak serangan dan dalam masa sama aspek pertahanan tetap diutamakan.
“Beberapa pemain Kelantan United saya lihat memiliki kepantasan dan mungkin ini akan digunakan lawan untuk melakukan serangan balas.
“Pemain perlu sentiasa fokus dan bertahan dengan penuh disiplin ketika pasukan melakukan serangan,” tegasnya.
Pelawat bakal turun tanpa kelibat pertahanan kanan, Sharul Nazeem Zulpakar yang digantung perlawanan ekoran layangan kad merah diterimanya pada aksi terakhir Liga Super menentang Penang FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.