PETALING JAYA: Selepas mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi, pesanan yang ditinggalkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di hujung hantarannya dalam Facebook mencetus tanda tanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu mengucapkan tahniah kepada JDT kerana mengalahkan Sang Kenari 3-1 biarpun beraksi dengan 10 pemain.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut mengucapkan tahniah kepada pemain dan penyokong mereka kerana memberikan komitmen terbaik.
Bagaimanapun menerusi hantaran yang memuatkan video aksi perlawanan itu, Muhammad Sanusi turut menyindir sepakan penalti dan keputusan ofsaid yang diberikan pengadil.

“Tahniah JDT yang menang menentang KDAFC malam ini. Tahniah juga pemain dan penyokong KDAFC yang telah memberi komitmen terbaik. Kalah takpa jangan koyak.
“Lepas off-side dan dapat penalti dalam bola sepak memang ada juai di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” tulisnya beserta emoji ketawa.
Setakat ini, hantaran Muhammad Sanusi mendapat 13,000 tanda suka, 5,400 komen dan 472 perkongsian.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman malam tadi, Kedah kalah 1-3 biarpun JDT mengharungi separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas Bergson da Silva dibuang pada minit ke-45.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan – menang 15 kali, seri empat kali. – UTUSAN ONLINE