KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) tidak menganggap Melaka United (MU) sebagai lawan mudah apabila berdepan skuad Sang Kancil dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Pengendalinya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, tiada istilah pasukan pilihan meskipun menyedari MU berdepan masalah luar padang, yang turut menyaksikan mereka kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan.
Kemenangan 5-0 dalam aksi pertama pada 5 September lalu juga bukan alasan buat skuad kendaliannya memandang sebelah mata cabaran Melaka.

“Di atas kertas, mungkin ramai memilih TFC sebagai pasukan pilihan yang akan menang perlawanan ini, namun macam-macam boleh berlaku di atas padang selama 90 minit.
“Kita juga tidak pasti kesebelasan utama yang dijangka diturunkan MU dan mereka juga ada pemain berpengalaman seperti Syahrul Azwari Ibrahim, Syazwan Andik, Mohd. Fadhli Shas dan Ifedayo Olesegun.
“Jadi kita cuma fokus kepada persiapan pasukan sendiri bagi memenuhi sasaran membawa pulang tiga mata penting dari tempat lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Kata Nafuzi, skuad bimbingannya kini berada dalam fasa getir yang akan menentukan nasib mereka dalam kedudukan liga serta pemburuan tiket ke Piala AFC 2023.
Katanya, skuad Sang Penyu wajib menang dalam baki tiga perlawanan bertemu MU, Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA) dengan kesemuanya berlangsung di tempat lawan.
“Untuk selamat, kami hanya perlu menang perlawanan itu dan tidak perlu lagi berharap kepada pasukan lain untuk keciciran mata atau tewas kerana TFC sudah berada di tempat ketiga.
“Apapun misi kami adalah mengalahkan MU terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya dan saya akan mempertaruhkan barisan terkuat ke Melaka,” ujar Nafuzi. – UTUSAN ONLINE