PETALING JAYA: Selepas gagal memenangi trofi sejak lima tahun lalu dan mengharungi kempen Liga Super 2022 yang hambar, berjaya menjulang Piala Malaysia mampu menjadi pengubat duka Selangor FC.
Memulakan tugas pertama sebagai pengendali Red Giants dengan kemenangan 5-0 ke atas Melaka United, Sabtu lalu membuatkan penyokong Merah Kuning yakin Tan Cheng Hoe mampu melakukan sesuatu apabila kejohanan membuka tirai bulan ini.
Kata Cheng Hoe, biarpun pasukannya juga mengidamkan untuk menjulang trofi buat kali ke-34, namun beliau harus bersikap realistik kerana masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan, terutama memahami kelebihan dan kelemahan setiap pemain.
Bukan mencari alasan, namun bekas pengendali Harimau Malaya itu berkata, tempoh yang dimiliki untuk mengembalikan Selangor sebagai ‘kuasa’ bola sepak tempatan terlalu singkat kerana baru mengambil alih pasukan hujung bulan lalu.
“Secara realistik memang terlalu awal untuk dapatkan kejuaraan tetapi sudah tentu kita sentiasa bekerja keras setiap hari. Saya juga masih mengkaji kelebihan dan kelemahan setiap pemain.
“Daripada itu, kita akan menemui formula atau resepi terbaik hasil daripada bahan-bahan (pemain-pemain) yang kita ada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Selangor menjadi pasukan paling banyak memenangi Piala Malaysia iaitu 33 kali namun sejak kali terakhir memenangi trofi pada 2015, Red Giants sehingga kini belum mampu menjulang sebarang kejuaraan.
“Saya tahu harapan pengurusan dan penyokong cukup tinggi tetapi apa yang saya harap pemain dapat melakukan yang terbaik dalam Piala Malaysia.
“Kita akan melihat kepada undian terlebih dahulu dan memberi fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” jelas Cheng Hoe.
Piala Malaysia musim ini menampilkan format berbeza dengan tiada peringkat kumpulan, dan pasukan memulakan kempen daripada saingan kalah mati.