ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Aidil Sharin Sahak menyifatkan sepakan penalti diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minit ke-59 telah mengubah segala-galanya ketika Sang Kenari tunduk 1-3 kepada Harimau Selatan di laman sendiri kelmarin.
Menurut pengendali dari Singapura itu, sepakan penalti Leandro Velazquez merentap semangat pemain-pemain mereka yang rata-ratanya masih muda.
Situasi itu diburukkan lagi dengan kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertahanan pada minit ke-78 yang membolehkan Afiq Fazail menyumbat gol ketiga JDT.
“Kami melaksanakan pelan yang baik pada separuh masa pertama namun di babak kedua, penalti itulah yang gubah segala-galanya.
“Ketika itu kami dalam momentum baik dan mengikut perancangan, kami mahu serap segala tekanan terlebih dulu hingga minit ke-65 sebelum buat pertukaran bagi membentuk serangan.
“Penalti itu tiba terlalu awal dan itu menjatuhkan moral pemain. Saya tidak mahu komen sama ada betul atau tidak keputusan memberikan penalti tetapi jika ia tidak berlaku, perlawanan pasti berbeza,” katanya.

Dalam perlawanan dibanjiri 15,000 penonton termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Kedah tampak berpeluang meraih kemenangan apabila tonggak penyerang JDT, Bergson da Silva dibuang padang pada minit ke-45 kerana mengasari Rodney Celvin ketika kedudukan 1-1.
Harapan menggunung penyokong hijau kuning untuk menjinakkan jagoan selatan lebur apabila JDT pula yang tampak menguasai permainan di sepanjang 45 minit separuh masa kedua, hingga berjaya menambah dua jaringan.
Begitupun, di sebalik kesilapan yang dilakukan anak-anak buahnya itu, Aidil tetap gembira dengan komitmen ditampilkan pemain,
“Bukan mudah untuk beraksi menentang pasukan besar seperti JDT dan kita tahu bahawa pemain-pemain kami sedang belajar dan anda tidak boleh salahkan bakat-bakat muda ini.
“Kami jelas tewas kepada pasukan lebih baik malam ini dan saya fikir pemain-pemain muda ini akan bertambah baik selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan. Insya-Allah, mereka akan kembali dengan lebih baik dalam aksi seterusnya,” katanya.