fbpx

Pearly-Thinaah tamatkan kemarau 14 tahun

PEARLY Tan (kanan) dan M. Thinaah meraih ranking terbaik dalam karier mereka apabila mendaki ke tangga kelapan dunia.

PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan langkah sensasi pada kejohanan badminton Terbuka Perancis apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia melangkah ke final dalam tempoh 14 tahun.

Pasangan No. 11 dunia itu menyingkirkan beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-13, 21-17 di Paris, sebentar tadi.

Juara Sukan Komanwel itu muncul pasangan wanita pertama negara melayakkan diri ke final Terbuka Perancis sejak Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakukannya pada 2008.

Pei Tty-Eei Hui, satu-satunya beregu wanita negara yang pernah mara ke perlawanan akhir Terbuka Perancis sebelum ini tewas kepada pasangan China, Du Jing-Yu Yang ketika itu.

Itu bermakna, Pearly-Thinaah boleh memahat sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia bergelar juara jika memenangi aksi final esok.

Cabaran getir bagaimanapun bakal menanti pasangan negara itu dalam perlawanan akhir kerana akan berdepan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.

Pasangan No. 7 dunia itu mara selepas menyingkirkan rakan senegara, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-14, 25-23 dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN