PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan syarikat minuman, Origina sebagai penaja baharu Piala Malaysia musim ini dan Liga Malaysia (Liga M) 2023 selepas menandatangani perjanjian hari ini.
Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, kehadiran Origina sebagai salah satu lagi penaja Liga M, sekali gus membuktikan ekonomi bola sepak domestik semakin rancak selaras dengan populariti saingan berkenaan.
Beliau juga optimis kehadiran Origina bukan sahaja mampu memberikan pendedahan baik, sebaliknya Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia itu mampu menyerikan lagi suasana bola sepak negara khususnya saingan Piala Malaysia yang akan bermula, hari ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada Origina dan selaku wakil MFL, kami sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Origina.
“Kehadiran Origina memberikan satu mesej penting di mana syarikat ini menaruh keyakinan tinggi kepada Liga Malaysia yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam liga tempatan,” kata Ab. Ghani.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Origina , Fatin Diana Mohd. Zain menjelaskan pihaknya berbangga menjadi pemain ke-12 untuk semua pasukan bola sepak Liga M khususnya dari segi menyampaikan sokongan penting melalui penyediaan minuman yang terbaik bermula dengan kejohanan Piala Malaysia 2022 dan seterusnya Liga M musim depan.
“Kerjasama antara MFL dan Origina adalah satu detik besar bagi kami kerana ini merupakan kerjasama pertama kami dalam bidang sukan.
“MFL organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak berprestij di Malaysia, maka kerjasama ini membuka peluang kepada kami untuk membabitkan diri dengan khalayak yang baharu dan melebarkan sayap Origina dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kami juga berharap Origina akan menjadi minuman yang ideal untuk membantu menyegarkan bukan hanya pemain bola sepak malah atlet negara kita yang komited semasa latihan intensif untuk meningkatkan tahap prestasi permainan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE