MANCHESTER: Cristiano Ronaldo kembali ke pusat latihan di Carrington semalam untuk bertemu pengurus, Erik ten Hag selepas disisihkan ketika Manchester United mengikat Chelsea 1-1, Sabtu lalu.
Bintang Portugal itu diberi kata dua, bersetuju dengan peraturan ditetapkan Ten Hag atau terus disisihkan dalam aksi Liga Europa menentang Sheriff Tiraspol, Jumaat ini.
Ten Hag berang selepas Ronaldo bertindak meninggalkan bangku simpanan sebelum wisel ditamatkan ketika berdepan Tottenham minggu lalu.
Ronaldo kini diarahkan berlatih bersendirian dan turut didenda ditolak gaji selama dua minggu.
Bagaimanapun, di sebalik situasi tegang Ronaldo di Old Trafford, kelab Itali, Napoli berminat menandatangani pemain berusia 37 tahun itu.

Selain Napoli, turut menunjukkan minat adalah Chelsea, Arsenal dan Newcastle, namun perpindahan ke kelab jiran dalam Liga Perdana Inggeris disifatkan sebagai terlalu berisiko.
Ronaldo kini menerima gaji 360,000 pound (RM1.9 juta) seminggu, sementara pemain yang menerima gaji tertinggi di Napoli iaitu Piotr Zielinski hanya meraih gaji mingguan 90,000 pound (RM482,000).
Bagaimanapun Ronaldo bersedia menerima potongan gaji bagi membolehkan dia kembali ke Serie A selepas menampilkan aksi memberangsangkan bersama Juventus pada musim 2018 hingga 2020.

“Destinasi yang tampak jelas kini buat Ronaldo untuk ke Itali, Napoli amat berminat dengan Ronaldo ketika musim panas dan sehingga kini masih lagi berminat.
“Kemasukan pemain sepertinya adalah satu langkah yang mereka percaya mampu memacu semula pasukan ke puncak Serie A, sekali gus mara ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
“Begitupun keputusan tersebut akan ditentukan sekiranya kelab itu mampu untuk menunaikan permintaan gaji tinggi Ronaldo,” jelas sumber dalaman pasukan.
– AGENSI