Melaka United terpalit kontroversi perkauman

Melaka United terpalit kontroversi perkauman

PAPE Diakite menjadi sasaran berbaur perkauman ketika Terengganu FC menentang Melaka United dalam aksi Liga Super malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belum reda dengan isu tunggakan gaji pemain, Melaka United terpaling lagi dengan kontroversi, kali ini melibatkan serangan  berbaur perkauman yang dilontarkan penyokong kepada pertahanan import Terengganu FC, Pape Diakite.

“Beberapa penyokong Melaka memanggil kami ‘negro bodo’ yang bermaksud orang berkulit hitam bodoh. Tetapi kami bangga untuk menjadi individu kulit hitam hingga akhir hayat.

“Sebagai muslim, perkara itu memalukan. Mungkin suatu hari nanti mereka akan lebih faham tentang kehidupan,” katanya yang dipetik menerusi akaun Twitter miliknya, @Diakite_44.

Insiden itu tercetus ketika Terengganu menang 4-2 di Stadium Hang Jebat, kelmarin dan situasi itu menghadirkan rasa kurang senang kepada pemain dari Senegal berkenaan.

Kejadian itu jelas mendapat perhatian daripada kedua-dua pasukan dan Terengganu melancarkan gerakan ‘No To Racism’ dan mahu semua pihak menjadikan bola sepak sebagai wadah penyatuan tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.

Susulan situasi berkenaan, pengurusan Melaka United bertindak pantas dengan mengecam tindakan tidak bermoral itu dan turut memohon maaf kepada Diakite.

“Melaka United FC dengan ini ingin memohon maaf kepada pihak Terengganu FC khususnya kepada pemain import, Pape Abdoulaye Diakite di atas tindakan atau kata-kata perkauman oleh segelintir penonton di Stadium Hang Jebat ketika Perlawanan Liga Super Malaysia 2022 Melaka United menentang Terengganu FC di Stadium Hang Jebat.

“Kelab Bolasepak Melaka United FC mengecam sekeras-kerasnya terhadap segala bentuk perbuatan yang berbaur perkauman dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam sukan bolasepak.

“Tiada ruang untuk segala bentuk perkauman walau di mana jua,” memetik kenyataan Melaka United menerusi akaun Facebook. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN