MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengagumi prestasi baharu Manchester United dan merasakan pasukan itu kini dalam perjalanan untuk menjadi pencabar liga sekali lagi.
Red Devils mengharungi permulaan musim yang sukar, tewas dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Brighton dan Brentford, malah dimalukan 6-3 oleh City di Etihad, awal bulan ini.
Begitupun, United mencatat rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan selepas itu.
Mereka mengatasi Tottenham 2-0, selain mengikat Chelsea 1-1 di Stamford Bridge hujung minggu lalu.
Skuad kendalian Erik ten Hag kemudian mempamer satu lagi persembahan cemerlang menumpaskan Sheriff Tiraspol 3-0 dalam Liga Europa kelmarin, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati.

Guardiola memuji impak yang dibawa Ten Hag bersama Red Devils dan merasakan jurulatih dari Belanda itu dalam usaha meletakkan pasukannya di tahap lebih tinggi.
“Saya mempunyai perasaan bahawa Manchester United akan kembali! Mereka benar-benar sudah kembali.
“Saya telah melihatnya ketika mereka menentang Chelsea, terutama pada babak pertama. Saya berkata, saya suka apa yang saya lihat di United sekarang.
“Akan ada banyak pasukan seperti United berjuang untuk kedudukan empat teratas. Itulah sebabnya anda perlu bekerja keras mencari tiket ke Liga Juara-Juara dan berusaha mendapatkan kejuaraan.

“Dalam perlumbaan mendapatkan kedudukan empat teratas, jika anda tidak memenangi 10 perlawanan pertama dalam Liga Perdana, anda akan ketinggalan.
“Lihat sekarang Newcastle, mereka kini merupakan ancaman kepada kelab lain.
“Semasa mereka menentang Tottenham minggu lalu, saya lihat kedua-duanya hebat.
“Bayangkan, pasukan ini hanya bermain satu perlawanan seminggu, tidak bertanding dalam Liga Eropah dan mampu menjadi pesaing terkuat,” katanya. – AGENSI