fbpx

Kontinjen Sukma Terengganu terima imbuhan RM1.5 juta

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) menyampaikan insentif kemenangan kepada Shahida Asyiqin Rusli pada Majlis Apresiasi Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Seramai 387 atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen Terengganu menerima imbuhan lebih RM1.5 juta hasil kejayaan muncul naib juara Sukan Malaysia (Sukma) 2022, bulan lalu.

Imbuhan yang diberikan itu berjumlah RM3,500 setiap seorang kepada pemenang pingat emas, RM2,500 (perak) dan RM1,500 (gangsa).

Pemenang empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa melalui sukan kanu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, paling ceria memenangi insentif terbanyak RM35,000 termasuk seutas jam tangan sukan.

Skuad kanu negeri itu yang mengutip lima pingat emas, lapan perak dan 17 gangsa, penyumbang pingat terbanyak, menerima insentif tertinggi kategori berpasukan iaitu RM286,000.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, ganjaran itu tanda penghargaan atas pencapaian kontinjen negeri melepasi sasaran pingat.

“Sebelum ini kadar insentif kemenangan berjumlah RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 kepada pemenang pingat emas, perak dan gangsa namun kita setuju menambah RM500 lagi.

“Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan keseluruhan, pencapaian 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa adalah pencapaian terbaik Terengganu dalam sejarah penyertaan Sukma.

“Fokus kami selepas ini adalah untuk memulakan persiapan merampas gelaran juara keseluruhan pada Sukma 2024,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Terengganu di sini, semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan insentif berkenaan kepada 222 atlet dan 165 jurulatih serta pegawai sukan.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Samsuri turut melancarkan Sekretariat Kebajikan Atlet Negeri Terengganu (SUKANT) yang bertujuan menjaga kebajikan atlet serta bekas atlet negeri dalam pelbagai bentuk.

Wan Sukairi berkata, sejumlah RM100,000 diberikan sebagai dana permulaan bagi memulakan usaha mengenalpasti atlet atau bekas atlet yang layak selain pemberian kad sejahtera.

“SUKANT menawarkan bantuan seperti pinjaman atau biasiswa kepada atlet yang mahu menyambung pengajian, kursus atau modal kepada yang mahu berniaga dan banyak lagi faedah lain.

“Dijangka sehingga 200 atlet akan menerima manfaat ini dan buat masa ini, kita sedang agih kad sejahtera untuk digunakan penerima di hospital tertentu bagi tujuan rawatan.

“Tiada had bantuan akan diberikan tetapi bergantung keperluan pemohon, malah penerima Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) juga layak memohon SUKANT,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN