PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hojak percaya, beliau mampu menemukan formula bagi menjinakkan kelab Oman, Al-Seeb yang menjadi halangan terakhir mereka untuk memahat sejarah muncul juara Piala AFC buat kali pertama pada 22 Oktober ini.
Selepas menyingkirkan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh yang diakui memiliki tahap permainan lebih tinggi, pengendali dari Croatia itu percaya, pasti ada jalan buat The City Boys untuk mengulangi kejutan dalam final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Sebagai jurulatih saya akan mencari jalan untuk menghentikan mereka (Al-Seeb), cuba menutup ruang dan cuba menghentikan pergerakan.

“Kami sudah melakukannya di sini (Uzbekistan), di India (mengalahkan Mohun Bagan pada separuh akhir Antara Zon) dan perkara sama akan kami lakukan nanti.
“Walaupun jentera serangan mereka baik tetapi mereka tetap ada kelemahan yang boleh diambil untuk kita lancarkan serangan balas atau gunakan situasi bola mati. Kita akan cuba mengesan kelemahan dan susun strategi terbaik,” kata Hodak.
Kelmarin, KL City yang diasak bertali arus sepanjang 120 minit permainan berjaya mengikat kedudukan 0-0 sebelum memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.
Kejayaan itu menyaksikan The City Boys kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.